LKIM harap Bajet 2027 lebih RM140 juta

LKIM harap Bajet 2027 lebih RM140 juta

Muhammad Faiz Fadzil bergambar kenangan bersama penerima bantuan pada Program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM bersama nelayan kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tanjong Nibong, Telok Mas, hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berharap peruntukan Bajet 2027 yang bakal dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat ini meningkat berbanding RM140 juta yang diperoleh tahun lalu.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya telah mengemukakan pelbagai permohonan kepada kerajaan termasuk bagi meningkatkan keupayaan nelayan, pembangunan sektor akuakultur, penyediaan prasarana serta penambahbaikan bantuan dan insentif sedia ada.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah sebenar peruntukan yang dipohon tidak dapat didedahkan ketika ini kerana masih tertakluk kepada proses dan keputusan kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bajet LKIM keseluruhannya pada tahun lalu adalah RM140 juta. Jadi, harapan kita untuk tahun ini tentulah supaya mendapat peruntukan yang lebih baik.

“Ini adalah pelbagai usaha bagi memperkukuh sektor perikanan serta kebajikan nelayan di seluruh negara. Harapan begitulah, insya-Allah,” katanya selepas menghadiri Program Sesi Libat Urus (SLU) Pengerusi LKIM bersama nelayan kawasan Telok Mas di Pangkalan Nelayan Tanjong Nibong, Telok Mas, di sini, hari ini.

Antara perkaraperlu diberi keutamaan dalam permohonan Bajet 2027 ialah peningkatan keupayaan nelayan menerusi penyediaan kemudahan asas dan prasarana yang lebih baik.

Katanya, ia termasuk pembangunan serta penambahbaikan jeti, projek unjam atau tukun tiruan, perumahan nelayan selain bantuan kebajikan bagi memastikan golongan itu dapat menjalankan aktiviti menangkap ikan dalam keadaan lebih selamat dan selesa.

“Banyak permohonan yang kita buat adalah untuk meningkatkan keupayaan nelayan termasuk meningkatkan peruntukan akuakultur, prasarana dari sudut jeti, unjam, perumahan untuk kebajikan mereka serta subsidi dan insentif-insentif sedia ada,” katanya.

Selain itu katanya ia termasuk insentif sara hidup, insentif tangkapan ikan dan juga subsidi minyak.

Beliau berkata, keperluan meningkatkan peruntukan bagi sektor perikanan penting bagi memastikan kebajikan nelayan terus terpelihara selain membantu meningkatkan pengeluaran hasil perikanan negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhammad Faiz berkata, keperluan membangunkan prasarana nelayan di Telok Mas antara perkara yang dibangkitkan dalam sesi libat urus bersama komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

Katanya, nelayan Telok Mas antara lain memohon supaya kerajaan mempertimbangkan pembinaan penghadang ombak bagi meningkatkan keselamatan serta kemudahan di pangkalan nelayan berkenaan.

Susulan itu, beliau telah mengarahkan pegawai LKIM untuk turun ke lapangan dalam masa terdekat bagi menilai kebolehlaksanaan cadangan tersebut, termasuk mengenal pasti keperluan teknikal dan jumlah peruntukan yang diperlukan.

Menurutnya, kerajaan menerusi LKIM sebelum ini turut menyediakan kira-kira RM800,000 bagi pembinaan jeti di kawasan berkenaan, manakala RM400,000 diperuntukkan tahun ini untuk membina bangsal nelayan.

Katanya, terdapat kira-kira 50 nelayan aktif di kawasan Telok Mas yang turut menerima manfaat daripada subsidi minyak dan bantuan kerajaan. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN