Saya sempat ajarnya mengucap kalimah syahadah - nenek Fiya - Utusan Malaysia

Saya sempat ajarnya mengucap kalimah syahadah – nenek Fiya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pelajar perempuan tingkatan empat yang dipercayai maut dibunuh di kawasan sekolah di Yong Peng, di sini, Irene Sofiya Mohd. Khairool Faisal, 16, meninggal dunia di pangkuan neneknya, Jameyah Rabani, 66.

Menurut warga emas itu, dia sempat memanggil nama cucunya dan mengajarkannya mengucap dua kalimah syahadah, sebelum mangsa terkulai dan tidak lagi bergerak dalam pangkuannya.

“Saya pegang dia, panggil namanya, Fiya dan ajar dia mengucap. Dia sempat pandang ke muka saya sebelum terkulai dan tidak bergerak lagi,” katanya kepada pemberita, ketika ditemui di Kampung Parit Selamat, Yong Peng, di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambah Jameyah, dia dimaklumkan tentang kehilangan cucunya itu pada pukul 5.30 petang oleh dua rakan mangsa yang datang ke kediamannya.

“Rakan Fiya maklumkan motosikal miliknya ada di sekolah, tetapi mereka tidak jumpa cucunya sebelum berkunjung ke rumah untuk bertanyakan khabar.

“Saya kemudian mengajak anak sulung saya yang berusia 45 tahun untuk bersama-sama ke sekolah bagi mencarinya.

“Kami mencari di sekitar kawasan sekolah dengan turut dibantu rakannya. Tidak lama kemudian salah seorang daripada mereka menemukan Fiya di dalam dewan sekolah,” katanya.

Tambah wanita itu, apabila dia tiba di dalam dewan, mangsa masih bernyawa kerana memberikan reaksi apabila namanya dipanggil, namun keadaan fizikalnya berlumuran darah.

“Saya telah jaga Fiya sejak berusia sembilan tahun selepas ibunya meninggal dunia akibat kanser hati, jadi memang rasa amat sedih dengan kejadian ini. Tetapi saya tetap reda dengan pemergiannya.

Sementara itu, datuk mangsa, Khyar Abas, 69, pula berkata, dia tidak sangka perbualannya bersama mangsa ketika bersarapan semalam menjadi pertemuan terakhir mereka.

“Saya sempat tanya sama ada Fiya mahu ikut neneknya menghadiri kenduri perkahwinan di kampung, namun cucunya beritahu ada kelas dalam talian pada pukul 11 pagi. Dia juga ada kelas tambahan di sekolah pada pukul 2 petang.

“Kami memang tinggal bertiga sejak Fiya berusia sembilan tahun. Dia kuat dan rajin belajar, tidak pernah susahkan kami atuk dan neneknya,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN