Gerbang ikonik di Hawaii runtuh selepas 550 tahun

Gerbang ikonik di Hawaii runtuh selepas 550 tahun

GERBANG Laut Holie masih kelihatan pada 23 September sebelum hilang sepenuhnya pada 27 September lalu.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HONOLULU: Gerbang Laut Holei antara tarikan pelancongan terkenal di Hawaii kini lenyap selepas struktur batu lava setinggi 27.4 meter yang terbentuk kira-kira 550 tahun lalu runtuh ke dalam Lautan Pasifik.

Perkhidmatan Taman Negara (NPS) berkata, waktu sebenar kejadian runtuhan itu tidak diketahui, namun gerbang berkenaan masih kelihatan menganjur ke laut dari pesisir Taman Negara Volcanoes pada 23 September sebelum hilang sepenuhnya pada 27 September lalu.

“Garis pantai di sekitar gerbang laut itu menunjukkan tanda-tanda ketidakstabilan sejak beberapa tahun lalu,” menurut NPS dalam satu kenyataan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Agensi itu pernah memberi amaran pada 2021 mengenai risiko runtuhan struktur batu tersebut.

Terletak di penghujung Jalan Chain of Craters di pulau Hawaii, juga dikenali sebagai Pulau Besar, struktur batu itu menjadi destinasi pelancongan popular dan sering dirakam pengunjung.

Gerbang itu dipercayai runtuh ketika taman tersebut ditutup sementara susulan Ribut Tropika Nolo pada hujung minggu lalu.

Perkhidmatan taman berkata, gempa bumi ketika letusan gunung berapi Kilauea dan runtuhan kawh puncaknya pada 2018 menyebabkan tebing berhampiran gerbang itu rosak.

Runtuhan gerbang berkenaan merupakan ‘perubahan terbaharu di sepanjang pesisir taman yang terpencil dan berbatu’.

Pada Januari 2020, kemunculan rekahan baharu dan ketidakstabilan pada tebing menyebabkan pihak taman menutup kawasan tinjauan asal gerbang itu.

Beberapa bulan kemudian, kawasan tinjauan baharu dibuka pada jarak yang lebih selamat, menurut NPS.

Ombak akibat ribut tropika pada tahun sama turut menyebabkan sebahagian batu di bahagian bawah gerbang itu pecah.

“Struktur ini indah, namun bersifat sementara dan mempunyai jangka hayat terhad. Gerbang laut itu akhirnya akan runtuh ke dalam laut. 

“Bagaimanapun, struktur lain akan menggantikannya apabila tebing berkenaan beransur-ansur menghakis ke arah daratan,” kata NPS dalam kenyataan pada 2021.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN