Bangunan didiami 50 orang termasuk pelajar runtuh - Utusan Malaysia

Bangunan didiami 50 orang termasuk pelajar runtuh

SEBUAH bangunan didiami 50 orang runtuh di Satya Niketan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terkorban manakala puluhan individu dikhuatiri terperangkap selepas sebuah bangunan lima tingkat runtuh di kawasan perumahan Satya Niketan, barat daya Delhi pada Ahad.

Saksi memberitahu media tempatan bahawa dianggarkan seramai 50 orang berada di dalam bangunan berkenaan apabila ia runtuh sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan. 

Sebelum kejadian, kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan di bahagian bawah tanah bangunan asrama Hostel Daze itu, yang terletak tidak jauh dari kampus Universiti Delhi.

Sebahagian besar pelajar yang menginap di situ dipercayai berada di dalam bilik masing-masing semasa kejadian kerana tiada sesi kuliah pada Ahad.

Seorang wakil rakyat  yang berada di lokasi kejadian memaklumkan bahawa beberapa pelajar yang terperangkap sempat membuat panggilan telefon dari bawah runtuhan.

Saksi turut memberitahu media tempatan bahawa sebuah lagi bangunan di sebelah asrama berkenaan turut runtuh. 

eorang saksi memberitahu agensi berita ANI bahawa bangunan bersebelahan itu juga merupakan sebuah asrama.

Ketua Menteri Delhi, Rekha Gupta berkata, semua penghuni sebuah bangunan berhampiran telah dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Setiap usaha yang mungkin sedang dilakukan bagi menyelamatkan mereka yang terperangkap dengan selamat,” tambah beliau.

Pihak Polis Delhi memaklumkan bahawa bangunan berkenaan hanya berusia sekitar 40 hingga 50 tahun.

Pemilik sebuah kedai berhampiran memberitahu ANI bahawa bangunan itu berada di bawah pajakan 100 tahun dan pemegang pajakan telah menjalankan kerja-kerja penggalian di bahagian bawah tanah untuk memperluaskan asrama bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Pihak polis kini sedang mengesan pemilik bangunan berkenaan, menurut laporan Times of India.

Perdana Menteri, Narendra Modi menyifatkan kejadian itu sebagai menyedihkan  dan menyampaikan takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang, menurut kenyataan pejabatnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×