MELAKA: DAP Melaka menegaskan tiada rundingan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) ketika ini bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka manakala formula Pakatan Harapan (PH) Plus juga tidak lagi menjadi pendirian mereka.
Pengerusi DAP negeri, Khoo Poay Tiong berkata, pendirian berkenaan dibuat berdasarkan prinsip bahawa sebarang kerjasama politik perlu mengambil kira kepentingan rakyat dan bukan sekadar bertujuan memenangi kerusi atau membentuk kerajaan.
Menurutnya, PH Melaka tidak mahu terburu-buru membuat keputusan mengenai kerjasama dengan mana-mana parti, sebaliknya akan berpegang kepada prinsip serta garis merah yang ditetapkan.
“Kalau kita hendak berbincang untuk kerjasama, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah kepentingan rakyat. Bukannya kerjasama untuk hendak menang kerusi sahaja.
“Apakah asas untuk kita bekerjasama? Hanya sekadar hendak menang kerusi, hendak kejar kuasa dan tubuhkan kerajaan? Bagi saya, gabungan tersebut mesti berdasarkan kepada kepentingan rakyat,” katanya ketika ditemui di Bangunan Stadthuys di sini hari ini.
Beliau mengulas perkembangan rundingan kerjasama parti politik menjelang PRN Melaka termasuk kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini dilihat menerusi model di Negeri Sembilan.
Mengulas mengenai kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan, Poay Tiong berkata, persoalan yang perlu diteliti adalah apa yang berlaku selepas kedua-dua pihak menjalinkan kerjasama berkenaan.
“Kerjasama BN dengan PN di Negeri Sembilan, apa sudah jadi?,” katanya.
Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai kerjasama BN-PN mencapai 90 peratus persefahaman, Poay Tiong enggan mengulas lanjut.
Katanya, PH mempunyai prinsip sendiri dalam menentukan sebarang bentuk kerjasama politik.
“Dari awal lagi saya cakap tidak ada rundingan dengan BN. Kalau hendak bergabung, kita mesti ada prinsip. Kita ada garis merah dan itu yang kita pegang,” katanya.
Ditanya sama ada PH Melaka masih mempertimbangkan formula PH Plus, Ahli Parlimen Kota Melaka itu sekali lagi menegaskan perkara itu tidak lagi menjadi pendirian gabungan berkenaan.
“Tak ada PH Plus. Saya sudah sebut banyak kali. Bukan saya seorang yang sebut, ramai pemimpin sudah sebut. Tak ada PH Plus,” katanya. – UTUSAN











