BRUSSELS: Negara anggota Kumpulan Tujuh (G7) bersetuju mengeluarkan 100 juta tong diesel dan minyak mentah daripada rizab kecemasan, selain berikrar tidak mengenakan sekatan eksport tenaga, susulan tekanan Amerika Syarikat (AS).
Persetujuan itu dicapai semalam selepas Presiden AS, Donald Trump, meningkatkan tekanan terhadap negara anggota G7 untuk menambah bekalan tenaga di pasaran.
Pentadbiran Trump sebelum ini mendesak Kesatuan Eropah (EU) mengurangkan simpanan diesel kecemasan, selain memberi amaran kegagalan berbuat demikian boleh mendorong Washington mengharamkan eksport diesel.
Larangan eksport oleh AS berpotensi mengurangkan bekalan diesel ke Eropah dengan ketara, memandangkan blok itu kini semakin bergantung kepada bekalan dari AS.
Keadaan itu juga dikhuatiri meningkatkan kos ekonomi yang perlu ditanggung EU sekiranya bekalan diesel global terjejas.
Trump berusaha meredakan kenaikan harga bahan api yang semakin tinggi menjelang pilihan raya pertengahan penggal AS pada November.
Trump memberitahu pemberita di Rumah Putih sebelum berlepas ke Alabama bahawa AS tidak akan mengenakan larangan eksport diesel.
Beliau berkata, rancangan itu sebenarnya tidak pernah benar-benar dipertimbangkan, meskipun dalam tempoh dua minggu lalu beliau beberapa kali menyatakan larangan berkenaan sedang dipertimbangkan dan menyokong cadangan itu.
Trump berkata, Eropah mempunyai bekalan diesel yang banyak dan akan memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada bekalan tenaga global, begitu juga AS.
“Eropah mempunyai banyak diesel dan mereka akan memberikan sumbangan besar kepada dunia, begitu juga kita. Kita tidak akan mengenakan larangan eksport. Kita akan melakukan apa yang sepatutnya kita lakukan,” katanya.
Perang Iran pada Mac mencetuskan pelepasan rizab kecemasan terbesar pernah dilakukan, membabitkan 400 juta tong minyak yang diselaraskan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA).
“Dengan mengambil kira komitmen yang sudah dipenuhi, kami akan melaksanakan komitmen melalui pelepasan sebanyak 100 juta tong minyak yang diselaraskan menerusi IEA,” kata G7 dalam kenyataan bersama.- AGENSI











