G7 beri Ukraine lesen hasil peluru berpandu - Utusan Malaysia

G7 beri Ukraine lesen hasil peluru berpandu

FRIEDRICH MERZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EVIAN: Negara-negara Eropah dalam Kumpulan Tujuh (G7) bersama Amerika Syarikat (AS) bersetuju memberikan lesen kepada syarikat di Ukraine untuk mengeluarkan peluru berpandu jarak jauh dan sistem pertahanan udara, dalam usaha memperkukuh keupayaan ketenteraan Kyiv menghadapi Russia.

Sumber diplomatik berkata, keputusan itu dicapai sempena sidang kemuncak G7 yang berlangsung selama tiga hari di bandar Evian, Perancis.

Langkah itu dibuat ketika pemimpin Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun dan AS berikrar meningkatkan tekanan terhadap Russia bagi menamatkan perang yang berlarutan lebih empat tahun di Ukraine.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami akan mengeluarkan bukan sahaja sistem pertaha­nan udara berlesen, malah ke­upayaan serangan jarak jauh,” katanya pada Rabu.

Canselor Jerman, Friedrich Merz mengesahkan keputusan itu dan berkata, kapasiti pengelua­ran senjata sedia ada ketika ini masih tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.

“Kita semua menghasilkan terlalu sedikit ketika ini dan keadaan itu boleh diatasi dengan memberikan lesen kepada syarikat yang mempunyai ke­upayaan pengeluaran, termasuk firma di Eropah dan Ukraine,” katanya kepada wartawan.

Menurut Merz, syarikat AS khususnya akan dibenarkan memberikan lesen kepada pe­ngeluar Eropah, sambil me­rakamkan penghargaan kepada Presiden AS, Donald Trump atas kesediaan Washington untuk bekerjasama.

Keputusan itu dibuat susulan kenyataan bersama G7 yang dikeluarkan kelmarin, berikrar untuk meningkatkan penghantaran keupayaan pertahanan udara, sistem, peluru pemintas tambahan dan  aset serangan jarak jauh kepada Ukraine, selain mempertimbangkan pemberian lesen 

bagi memperkukuh pengeluaran ketenteraan domestik negara itu.

Kyiv, yang berdepan serangan udara besar-besaran Russia dan kekurangan peluru bagi sistem pertahanan udara, terus bergantung kepada sokongan sekutu Barat untuk menangkis serangan peluru berpandu Moscow.

Perang di Asia Barat turut memburukkan lagi kekura­ngan bekalan peluru pertahanan uda­ra yang dihadapi Ukraine sejak konflik bermula, selepas sekutu AS menggunakan sejumlah besar peluru berkenaan untuk melindungi lokasi strategik di rantau Teluk daripada serangan. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini