PETALING JAYA: Hala tuju Kerajaan Perpaduan yang semakin sukar difahami khususnya membabitkan isu ‘mafia korporat’ dan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) kes beberapa pemimpin politik antara faktor Lee Chean Chung mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya, berkuat kuasa semalam.
Bekas Ahli Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu juga mendakwa, keputusan berkenaan dibuat berikutan rasa kecewa terhadap pendirian kerajaan hari ini berbanding nilai dan prinsip pertikaian yang diperjuangkan sebelum ini.
“Dahulu, Pakatan Harapan (PH) mengkritik Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kerana gagal membawa negara ke arah yang betul.
“Hari ini, apabila berdepan pelbagai kontroversi, kita pula semakin kerap diminta meyakinkan diri bahawa sekurang-kurangnya kerajaan sekarang lebih baik daripada dahulu,” katanya dalam kenyataan semalam.
Chean Chung yang memenangi kerusi Parlimen Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berkata, surat peletakan jawatannya sudah diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, kira-kira pukul 3 petang kelmarin.
Menurut beliau lagi, keputusan itu juga dibuat selepas menerima surat daripada PKR pada Rabu lalu yang memaklumkan keahliannya dalam parti digantung selama tiga tahun.
Chean Chung sebelum ini turut mendakwa aksesnya kepada sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan sudah disekat, manakala baki peruntukan RM3 juta bagi Petaling Jaya tidak lagi disalurkan menerusi pejabatnya.
“Kini keadaan menjadi lebih serius. Saya tidak lagi boleh berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti, sedangkan pengurusan peruntukan kawasan pula diambil alih melalui proses yang tidak telus.
“Saya akan menghantar surat peletakan jawatan saya daripada PKR pada Isnin ini,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai desas-desus sama ada beliau akan menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) yang diterajui bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli, Chean Chung bagaimanapun enggan mengesahkan perkara itu buat masa ini.
“Sebenarnya saya memang sudah buat keputusan tetapi hari ini, saya ingin tumpu kepada keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen,” jelasnya.
Bercakap mengenai penglibatannya dalam politik, Chean Chung memberitahu PKR merupakan parti politik pertama disertainya sejak 2008 selepas meninggalkan kerjaya korporat.
“Saya tidak pernah menyesal. Saya berterima kasih kepada PKR atas peluang sepanjang 18 tahun ini dan kepada rakan seperjuangan yang masih percaya kepada politik bersih, reformasi institusi dan sebuah Malaysia yang meraikan kepelbagaian,” katanya. – UTUSAN











