PETALING JAYA: Skuasy wanita negara menghadiahkan pingat emas ketujuh buat Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas menewaskan Hong Kong 2-1 dalam acara berpasukan sekali gus mempertahankan kejuaraan sama pada edisi di Hangzhou 2022, sebentar tadi.
Malaysia bermula garang apabila Aifa Azman tidak berdepan masalah untuk menundukkan Ho Tze Lok 3-0 dalam perlawanan pembukaan.
Aifa bagaimanapun terpaksa bekerja keras sebelum memastikan kemenangan menerusi keputusan 11-9, 11-9, 12-10 dalam tempoh 17 minit.
Hong Kong kemudian bangkit menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Chan Sin Yuk yang mengejutkan pemain No. 5 dunia, S. Sivasangari dalam pertarungan sengit lima set.
Chan Sin Yuk yang berada di ranking ke-25 negara memastikan kemenangan 3-2 untuk menghidupkan semula cabaran Hong Kong dan meletakkan tekanan ke atas Malaysia dalam penentuan pingat emas.
Namun, Aira Azman muncul sebagai watak penting apabila mudah menewaskan Lee Ka Yi 3-0 dalam perlawanan penentuan.
Pemain negara itu memastikan kemenangan menerusi keputusan 11-9, 11-5, 11-4 sekali gus mengesahkan emas menjadi milik Malaysia.
Kejayaan tersebut menyaksikan skuasy wanita negara menepati ramalan untuk berdiri di podium tertinggi, selain menyumbang emas ketujuh Malaysia pada temasya Aichi-Nagoya 2026.-UTUSAN











