PETALING JAYA: Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan mengurniakan 200,000 pelitup muka kepada penunggang motosikal warga Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura susulan keadaan jerebu di Johor.
Kurniaan itu disampaikan melalui Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor (YRZSNJ) kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah serta Bangunan Sultan Iskandar (BSI).
Ketua Pegawai Eksekutif YRZSNJ, Hishamuddin Abd Rahim berkata, sumbangan berkenaan mencerminkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap kesihatan dan kesejahteraan rakyat, khususnya pekerja yang terdedah kepada risiko masalah pernafasan akibat jerebu yang semakin memburuk di Johor.
“Inisiatif sumbangan pelitup muka ini merupakan bukti keprihatinan Seri Paduka Baginda yang sentiasa mengutamakan kesihatan rakyat, terutamanya penunggang motosikal yang terpaksa berdepan dengan cuaca buruk dan jerebu berpanjangan ketika berulang-alik mencari rezeki setiap hari,” katanya.
YSIJ dengan kerjasama syarikat Eco-Shop menyumbangkan 100,000 pelitup muka, manakala YRZSNJ turut menyumbangkan jumlah yang sama.
Kesemua pelitup muka itu akan diagihkan secara berkala kepada penunggang motosikal yang melalui kedua-dua kompleks pintu masuk negara berkenaan setiap hari.
Simbolik penyerahan hari ini disempurnakan Pengurus Kanan YSIJ, Shah Reza Md Kanafe dan Hishamuddin kepada Penolong Komander Pintu Masuk AKPS KSAB, Wan Muhammad Firdaus Wan Kamari serta Ketua Unit Penguatkuasa AKPS BSI, Sapian Kamarudin. – UTUSAN











