LONDON: Polis menahan seorang lelaki yang mempunyai kewarganegaraan United Kingdom (UK) dan Iran kerana disyaki merancang serangan pengganas, susulan insiden keselamatan di sebuah pangkalan tentera yang dikendalikan Amerika Syarikat (AS) di England pada Ahad.
Lelaki berusia 27 tahun itu ditahan di London pada Khamis dan polis menggeledah dua premis di ibu negara Britain itu, menurut kenyataan Polis Pencegahan Keganasan.
Seorang lelaki warga Britain berusia 26 tahun turut disoal siasat polis di bawah amaran, bermakna sesi soal siasat itu direkodkan dan boleh digunakan dalam pendakwaan pada masa depan.
Pada Ahad, lima lelaki warga Britain berusia 20-an dan berasal dari London ditahan kerana disyaki terbabit dalam kesalahan berkaitan bahan letupan dan keganasan berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja (RAF) Fairford, yang digunakan pesawat pengebom AS untuk menyerang Iran. Kelima-lima suspek kemudian dibebaskan dengan ikat jamin.
Polis berkata, mereka menemui sejumlah petrol dalam tiga van yang dikaitkan dengan kelima-lima suspek, namun tiada bahan letupan ditemukan.
Penyelaras Kanan Kebangsaan Operasi Pencegahan Keganasan, Vicki Evans berkata, siasatan itu amat rumit dan pasukan pakar sedang meneliti pelbagai kemungkinan.
“Seperti yang kami jelaskan, kami sedang menyiasat semua kemungkinan, termasuk kemungkinan penglibatan negara asing,” katanya.
Perdana Menteri, Andy Burnham berkata, UK melihat petunjuk kukuh Iran mempunyai peranan dalam insiden itu. Iran bagaimanapun menafikan pihaknya terbabit.
Kenyataan itu menyebabkan Iran memanggil Duta Britain ke Teheran, Hugo Shorter, menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Timbalan Menteri Luar Iran mengecam tuduhan tidak berasas kerajaan Britain dan mengutuk tindakan negara itu menyediakan pangkalan serta kemudahan ketenteraan di bawah bidang kuasanya untuk perancangan dan pelaksanaan pencerobohan ketenteraan AS-Israel terhadap Teheran.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam wawancara dengan Fox News pada lewat Rabu mendakwa pihaknya memberi maklumat risikan kepada Britain mengenai rancangan serangan itu tidak lama sebelum kerajaan Burnham mengumumkan sekatan terhadap produk dari penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki pada 8 September.
“Kami memberikan maklumat risikan kepada Britain bahawa akan berlaku serangan dan ia adalah serangan yang ditaja Iran. Kemudian, hampir keesokan harinya, mereka mengenakan sekatan terhadap kami,” kata Netanyahu kepada pengacara konservatif rangkaian itu, Sean Hannity.
Presiden AS, Donald Trump sebelum ini turut menyebut kemungkinan Iran mempunyai kaitan dengan insiden itu, selepas seorang penduduk melaporkan melihat lelaki bertopeng berhampiran beberapa van yang menuju ke pangkalan Fairford.
Pangkalan itu terletak kira-kira 160 kilometer ke barat London dan telah digunakan pesawat pengebom AS dalam konflik di Asia Barat selama beberapa dekad, termasuk perang dengan Iran pada tahun ini.-AGENSI











