NEW YORK: Sebuah satelit pengintip era Perang Dingin milik Amerika Syarikat (AS) yang baharu sahaja dinyahklasifikasikan secara rasmi meletup secara misteri di orbit rendah Bumi, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan satelit komunikasi dan internet lain.
Satelit yang dikenali sebagai USA 32 atau nama kod rahsianya Farrah III itu berkecai pada 13 September pada ketinggian lebih 770 kilometer di atas permukaan Bumi, menurut pengesahan Pasukan Angkasa Lepas AS.
Pihak tentera mengesahkan analisis lanjut masih dijalankan dan tidak menolak kemungkinan sebarang punca, termasuk serangan senjata antisatelit.
USA 32 dilancarkan pada 1988 bagi mengumpul maklumat perisikan, khusus untuk mengesan isyarat radar Kesatuan Soviet sebelum peranannya ditamatkan.
Pejabat Peninjauan Kebangsaan (NRO) yang mengendalikan satelit berkenaan baharu sahaja mendedahkan perincian penuh misi sulit itu kepada umum pada tahun lalu.
Meskipun misinya sudah lama tamat, kemusnahan mendadak satelit berkenaan yang tidak dirancang kini menimbulkan misteri berhubung punca sebenar letupan itu berlaku.
Kejadian itu mencetuskan kebimbangan berikutan kedudukan letupan berada di laluan orbit yang sangat padat dengan pelbagai satelit navigasi, komunikasi dan perbankan global.
Pakar astronomi menerusi portal Spaceweather.com memberi amaran bahawa serpihan letupan tersebut mewujudkan ancaman pelanggaran sebenar kepada satelit lain yang beroperasi di kawasan berdekatan.
Laporan awal mengesyaki letupan mungkin berpunca daripada tangki bertekanan atau sel bateri lama yang pecah selepas beroperasi melebihi jangka hayat asalnya.
Satelit berusia 38 tahun itu sepatutnya hanya direka untuk beroperasi selama tiga hingga empat tahun sahaja mengikut rekod rasmi NRO.
Kebimbangan utama kini tertumpu kepada risiko pelanggaran serpihan USA 32 dengan satelit komersial dan ketenteraan lain yang menjadi tulang belakang perkhidmatan harian di Bumi pada 2026.
Laluan orbit tersebut menempatkan pelbagai sistem penting termasuk perkhidmatan telefon, perbankan, ramalan cuaca, penerbangan dan sistem amaran awal ketenteraan global. – AGENSI











