PETALING JAYA: Semua pihak diminta memberi ruang dan masa kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita selepas kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Menurut Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pemergian Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah masih memberi kesan mendalam kepada bekas Perdana Menteri itu dan proses untuk menerima kehilangan berkenaan memerlukan masa.
“Tun Mahathir seperti mana yang kita boleh lihat, belum sampai seminggu menghadapi pemergian isteri kesayangan beliau yang telah bersama selama 70 tahun.
“Saya rasa apa yang berlaku sekarang sedikit sebanyak merupakan manifestasi kepada keadaan emosi dan kesihatan beliau,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Bacaan Tahlil dan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada Khamis.
Mukhriz berkata, berada di kediaman keluarga juga bukan sesuatu yang mudah buat Tun Dr Mahathir kerana setiap sudut rumah mengingatkannya kepada Allahyarham.
Menurutnya, atas faktor itu, adalah lebih baik sekiranya Tun Dr Mahathir berada di Institut Jantung Negara (IJN) buat sementara waktu sehingga keadaan beliau benar-benar pulih.
“Saya kira kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih.
“Hari ini pun beliau sudah pergi menziarahi pusara Allahyarham dan itu satu perkembangan yang baik,” katanya. – UTUSAN











