IPOH: Dua pelajar perempuan maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlibat nahas dengan sebuah kereta di Taman Perpaduan Ria, Tambun di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat kemalangan itu diterima pihaknya pada pukul 7.22 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun segera digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan motosikal jenis Yamaha EZ115.
“Terdapat tiga mangsa iaitu pelajar perempuan yang menaiki motosikal berkenaan dan kesemua mangsa tidak tersepit,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian, manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah dan berada dalam keadaan separa sedar.
“Anggota Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) memberikan rawatan awal kepada mangsa cedera dengan memasang cervical collar sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Dua mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan pada pukul 8.33 pagi,” katanya. – UTUSAN











