KUALA LUMPUR: CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia) melancarkan Struktur Rakan Jualan Bersekutu (ASP) bagi memperkukuh dan memperluas strategi pengedaran berbilang saluran (Omni-Channel) syarikat.
Pelancaran itu menyaksikan pemeteraian perjanjian kolaborasi bersama empat perniagaan bebas sebagai kumpulan ASP pertama CUCKOO Malaysia dan membuka peluang kepada syarikat berkenaan untuk menjangkau lebih ramai pelanggan di seluruh Malaysia.
Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon berkata, struktur berkenaan turut membuka peluang kepada lebih banyak perniagaan untuk berkembang bersama syarikat.
Menurutnya, inisiatif itu menyasarkan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan serta memacu pertumbuhan syarikat dalam jangka panjang, di samping membantu lebih ramai rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup lebih sihat.
“Struktur ASP membuka lebih banyak peluang kepada perniagaan untuk berkembang bersama CUCKOO Malaysia.
“Kami mengalu-alukan perniagaan yang ingin memberi tumpuan kepada penjualan produk dan perkhidmatan CUCKOO, serta mereka yang ingin melengkapkan penawaran sedia ada dengan ekosistem solusi gaya hidup sihat kami,” katanya.
ASP merupakan perniagaan bebas yang berdaftar dan diberi kuasa sebagai sekutu perniagaan CUCKOO Malaysia untuk menjual produk dan perkhidmatan syarikat, manakala pengurusan pasukan jualan serta urusan perniagaan dikendalikan oleh setiap ASP.
CUCKOO Malaysia kekal sebagai pengedar tunggal dan eksklusif produk jenama CUCKOO di Malaysia, Singapura dan Brunei serta akan terus memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Beliau berkata, sebagai kumpulan pertama, tiga daripada empat ASP tersebut ditubuhkan oleh pemimpin dan pasukan jualan CUCKOO yang sedia ada, manakala satu lagi membawa sebuah perniagaan bersama pasukan jualannya ke dalam rangkaian berkenaan.
“Syarikat turut mengalu-alukan penyertaan usahawan dan perniagaan daripada pelbagai saiz serta sektor, termasuk insurans, telekomunikasi, peruncitan dan perdagangan am, dalam rangkaian jualannya menerusi struktur ASP itu.
“Perniagaan yang menyertai rangkaian berkenaan boleh memperkenalkan ekosistem solusi gaya hidup sihat CUCKOO Malaysia menerusi premis dan saluran jualan sedia ada atau membangunkan operasi jualan yang memberi tumpuan kepada produk serta perkhidmatan CUCKOO,” katanya.
Dalam pada itu, melalui perluasan rangkaian, CUCKOO Malaysia menyasarkan untuk menjangkau kumpulan pelanggan dan lokasi baharu, sekali gus memudahkan lebih ramai pelanggan mengakses ekosistem solusi gaya hidup sihat syarikat.
Perniagaan yang berminat untuk menyertai Struktur Rakan Jualan Bersekutu boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi CUCKOO Malaysia www.CUCKOO.com.my/ASP untuk maklumat lanjut. – UTUSAN








