SHAH ALAM: Cuti peristiwa sempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 25 Okt ini ialah hari kelepasan am pilihan dan hanya wajib diberikan oleh majikan sektor swasta di Selangor sebagai hari kelepasan am berbayar.
Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia dalam kenyataan memaklumkan majikan yang menetapkan Ahad sebagai hari rehat pula hendaklah memberi hari kelepasan am gantian pada hari berikutnya iaitu 26 Okt sebagaimana peruntukan ditetapkan di bawah Seksyen 60D(1) Akta Kerja 1955.
“Sebagai alternatif, majikan juga boleh dengan persetujuan pekerja menggantikan hari kelepasan am berbayar berkenaan kepada hari lain sebagaimana peruntukan Seksyen 60D (1A) Akta Kerja 1955,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, pengisytiharan cuti peristiwa itu dibuat selaras dengan Subseksyen 9(1) Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang membolehkan kerajaan negeri mengisytiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am bagi negeri berkenaan.
Pada 11 Sept lepas, Kerajaan Negeri Selangor mengumumkan 26 Okt sebagai hari kelepasan am gantian bagi seluruh negeri itu bersempena dengan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pengisytiharan cuti gantian itu berikutan tarikh sambutan kemuncak serta hari kelepasan am pada 25 Okt jatuh pada Ahad. – BERNAMA











