KUALA LUMPUR: Pasaran penjagaan kesihatan swasta Malaysia yang diunjur mencecah RM158 bilion menjelang 2029 membuka peluang kepada syarikat tempatan meneroka pasaran eksport baharu menerusi Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2027.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Pemecutan Eksport, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), S. Jai Shankar berkata, IHW 2027 akan menjadi antara platform bagi menghubungkan syarikat Malaysia dengan pemain industri penjagaan kesihatan dari seluruh dunia.
Menurutnya, platform itu penting bagi memastikan syarikat tempatan bukan sahaja mendapat akses kepada rantaian bekalan, malah memiliki maklumat dan rangkaian yang diperlukan untuk menembusi pasaran baharu.
“Dari perspektif komersial, kita melihat kepada kapasiti rantaian bekalan. Kita perlu memastikan syarikat mempunyai akses kepada rantaian bekalan dan bersedia untuk menyertainya.
“IHW akan menjadi platform yang menghubungkan pemain industri dari seluruh dunia. Pada acara sebelum ini, penyertaan melibatkan 25 negara dan kita menjangkakan jumlah itu akan meningkat kali ini,” katanya pada sidang media Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2027 di sini hari ini.
Beliau berkata, hubungan yang diwujudkan menerusi IHW turut berpotensi membantu mempelbagaikan destinasi eksport Malaysia, khususnya dalam industri peranti perubatan.
“Pada 2025, antara destinasi utama eksport peranti perubatan Malaysia ialah Amerika Syarikat (AS), Belgium, Singapura dan Jerman.
“Jadi, kita mahu syarikat Malaysia meneroka lebih banyak pasaran baharu selain pasaran tradisional. Itulah antara objektif utama IHW,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Portfolio Serantau ASEAN, Informa Markets, Rungphech Chitanuwat berkata, perkembangan pasaran penjagaan kesihatan Malaysia membuka peluang bukan sahaja dalam negara, malah di peringkat serantau.
“Pasaran penjagaan kesihatan Malaysia sedang berkembang pesat, dan peluang yang tersedia bukan sahaja tertumpu di dalam negara, malah melangkaui sempadannya.
“Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa diwujudkan bagi menyokong pertumbuhan industri penjagaan kesihatan Asia Tenggara dan kami berbangga dapat kembali menganjurkannya di Malaysia buat kali kedua,” katanya.
IHW 2027 dianjurkan Informa Markets dengan kerjasama Matrade sebagai Rakan Strategik dan akan berlangsung pada 13 hingga 15 Julai 2027 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
IHW 2027 yang merupakan edisi kedua di Malaysia itu akan menjadi platform yang menghubungkan pemain industri penjagaan kesihatan termasuk pengeluar, pembekal, pembeli dan pelabur dari seluruh Asia Tenggara.
Acara itu menghimpunkan tiga pameran utama iaitu CPHI Asia Tenggara, Ekspo Kesihatan Sedunia (WHX) Kuala Lumpur dan Medtec Asia Tenggara. – UTUSAN











