PETALING JAYA: Klanggroup Development Sdn. Bhd. (Klanggroup) menyerahkan milikan kosong (VP) bagi dua pembangunan perindustrian di Selangor pada September lalu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) gabungan kira-kira RM1.74 bilion.
Dua projek tersebut adalah Excellent Technology Park (ETP) @ KIIP Kapar (Fasa 1) dan ETP @ KIIP Jenjarom yang masing-masing telah habis dijual.
Pengarah Eksekutif Klanggroup, Danny Ong berkata, lebih separuh daripada unit di kedua-dua projek berkenaan mula beroperasi tidak lama selepas penyerahan milikan kosong.
“Ini menunjukkan pembeli memperoleh kilang berkenaan untuk kegunaan operasi perniagaan mereka.
“Ia selaras dengan matlamat kami untuk menyediakan ruang yang praktikal, dengan spesifikasi sesuai serta lokasi yang memenuhi keperluan operasi pembeli,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penyerahan milikan kosong merupakan pencapaian penting dalam pelaksanaan pembangunan, namun tanggungjawab syarikat tidak terhenti selepas penyerahan.
“Seiring perkembangan perniagaan dan rantaian bekalan, syarikat memerlukan ruang perindustrian yang mampu menyokong operasi mereka untuk jangka panjang.
“Kami akan terus membangunkan kilang di lokasi strategik yang memenuhi keperluan praktikal ini serta menyumbang kepada pertumbuhan kawasan perindustrian di Selangor,” katanya.
ETP @ KIIP Kapar merupakan pembangunan pegangan bebas seluas 104.84 ekar dengan GDV RM1.005 bilion, merangkumi 170 unit kilang berkembar dan kilang berkembar berkelompok bagi Fasa 1.
Pembangunan yang terletak di Kapar itu mempunyai akses ke Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Sementara itu, ETP @ KIIP Jenjarom mempunyai GDV RM733 juta dan dibangunkan di atas tanah pegangan bebas seluas 51.79 hektar.
Ia merangkumi 162 unit kilang berkembar dan kilang berkembar berkelompok serta 28 lot tanah perindustrian, dengan akses ke Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).
Kedua-dua pembangunan menyediakan kemudahan seperti bekalan kuasa 400 ampere, kapasiti beban lantai tiga tan bagi setiap meter persegi, ketinggian cucur atap 40 kaki dan laluan masuk konkrit.
Perniagaan yang beroperasi di kedua-dua kawasan berkenaan merangkumi sektor logistik, e-dagang, produk automotif, perabot dan bahan binaan.
Penyerahan itu dibuat ketika Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) memberi penekanan terhadap pengukuhan kluster perindustrian bagi menyokong pembangunan wilayah.
Setakat September lalu, sebanyak 82 unit di ETP @ KIIP Kapar (Fasa 1) telah diduduki, manakala di ETP @ KIIP Jenjarom, sebanyak 113 unit kilang dan 28 lot tanah perindustrian telah diserahkan. – UTUSAN











