Bahasa Melayu menyatukan kita

Bahasa Melayu menyatukan kita

BAHASA Melayu bukan sekadar bahasa kebangsaan tetapi ‘ejen’ yang menyatukan rakyat. -IMEJ JANAAN AI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PENGGU­NAAN bahasa Melayu di mahkamah tidak boleh dipermudahkan dan diambil ringan.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahasa kebangsaan negara ialah bahasa Melayu (Perkara 152). Dengan peruntukan undang-undang di atas, maka keraguan atas penggunaan bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah tidak boleh dipersoalkan lagi.

“Jadi, penggunaannya hendaklah dilaksanakan dengan ketatnya oleh semua pihak. Mahkamah hendaklah memainkan peranannya dengan melaksanakan kuasanya dengan sewajarnya.” – Penghakiman mahkamah dalam kes Zainun Dahan lwn. Rakyat Merchant Bankers Bhd & Satu Lagi [1998] 1 MLJ 532.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sejak 1999, Malaysia menyambut Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. Sepanjang bulan ini, seharusnya kita melihat bahasa Melayu dijulang tinggi sebagai bahasa kebangsaan yang menyatupadukan 31 juta orang rakyat negara ini.

Namun saban tahun, bulan ini tidak digunakan dengan sebaiknya untuk memasarkan keutuhan peranan bahasa Melayu dalam segenap dimensi kehidupan rakyat yang mengaku Keluhuran Perlembagaan sebagai tunjang jati diri.

Sayangnya, amat jarang-jarang kita melihat poster dipasang, slogan dilaungkan, pertandingan dianjurkan ataupun program bahasa disusun cantik oleh badan kerajaan, apatah lagi di peringkat industri swasta.

Jika pun ada, sudah tentu tidak melebihi keghairahan yang dipamerkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku ‘penjaga’ bahasa Melayu itu sendiri, ataupun perpustakaan-perpustakaan awam sebagai ‘pemegang’ khazanah bahasa.

Maka, sejauh manakah bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa utama dan dibudayakan sebagai pembentuk identiti dalam urusan rasmi negara? Atau adakah bahasa Melayu sekadar peruntukan lapuk dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan tanpa rohnya?

Persoalan ini penting kerana bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi. Dalam sebuah negara yang masyarakatnya berbilang kaum, bahasa kebangsaan adalah lambang identiti bersama. Ia menjadi ruang pertemuan yang memungkinkan rakyat daripada latar belakang berbeza berkomunikasi sebagai satu bangsa dan sebagai warga sebuah negara berdaulat.

Perkara ini sebenarnya bukan sesuatu yang unik kepada Malaysia. Banyak negara di dunia memberikan kedudukan yang jelas kepada bahasa kebangsaan masing-masing dan memastikannya berfungsi dalam pentadbiran, pendidikan, perundangan serta perkhidmatan awam yang disajikan kerajaan.

Lihat sahaja Indonesia. Bahasa Indonesia bukan bahasa ibunda bagi semua rakyatnya.

Namun, bahasa itu berjaya menjadi bahasa penyatuan bagi sebuah negara yang mempunyai ratusan kelompok etnik dan bahasa daerah.

Dalam urusan kerajaan, pendidikan dan kehidupan awam, bahasa Indonesia menyediakan satu wadah bersama yang merentas perbezaan etnik, wilayah dan status sosioekonomi.

Pengalaman Indonesia menjadi teladan dalam membuktikan bahasa kebangsaan tidak semestinya perlu menjadi bahasa ibunda setiap rakyat untuk menjadi bahasa penyatuan.

Yang lebih penting tentulah kesediaan negara memberikan ruang dan fungsi yang kukuh kepadanya.

Jepun pula memperlihatkan bagaimana bahasa kebangsaan boleh menjadi sebahagian daripada identiti setiap institusi negara. Bahasa Jepun digunakan secara meluas dalam pentadbiran, perundangan, pendidikan dan komunikasi awam.

Penggunaan bahasa kebangsaan tidak dilihat sebagai penghalang kepada kemajuan dan daya saing rakyatnya.

Biarpun orang Jepun mempelajari bahasa asing lain untuk keperluan antarabangsa tetapi hal itu tidak menyebabkan bahasa Jepun kehilangan kedudukannya dalam urusan domestik.

Begitu juga Perancis, yang sejak sekian lama mempunyai dasar yang jelas untuk mempertahankan kedudukan bahasa Perancis dalam kehidupan awam.

Bahasa Perancis digunakan dalam pentadbiran, undang-undang dan komunikasi rasmi, sementara penggunaan bahasa asing berkembang mengikut keperluan masyarakat dan ekonomi, khususnya bagi masyarakat migran.

Bahkan, biarpun Perancis kini menjadi negara majmuk etnik, namun keupayaan migran untuk berasimilasi dapat dilihat jelas apabila masyarakat migran lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa Perancis tanpa mencairkan penguasaan bahasa ibunda masing-masing.

Pengajaran daripada negara-negara ini bukanlah bahasa ibunda atau bahasa asing perlu diketepikan. Sebaliknya, pengalaman mereka menunjukkan penguasaan bahasa antarabangsa dan pemartabatan bahasa kebangsaan boleh berjalan serentak dan senada tanpa merendahkan satu mahupun yang lain.

AMBIL PENGAJARAN

Malaysia wajar mengambil iktibar daripada konflik bahasa di Sepanyol, khususnya Catalonia, yang pernah mencetuskan ketegangan identiti dan perpecahan. Begitu juga Cameroon yang menyaksikan pertikaian antara penutur bahasa Inggeris dengan bahasa Perancis serta Sri Lanka yang meletakkan bahasa Sinhala sebagai bahasa kebangsaan sehingga mengharamkan bahasa minoriti seperti Tamil.

Adakah perpecahan identiti di sana yang mengorbankan perpaduan negara tidak mampu menginsafkan rakyat Malaysia tentang betapa besarnya peranan kesatuan melalui bahasa kebangsaan?

Kita mungkin berbeza agama, etnik, negeri, budaya dan bahasa ibunda tetapi sebuah negara memerlukan sesuatu yang dapat menyatukan jutaan hati.

Bahasa Melayu mampu menjadi antara ruang pertemuan itu. Maka, untuk tahun ini, sudah tiba masa Bulan Bahasa Kebangsaan mencabar rakyat negara ini.

Mampukah 31 juta jiwa rakyat, yang menjadikan Malaysia kediaman mereka, menghidupkan bahasa kebangsaan yang benar-benar kita martabatkan sebagai bahasa negara? -UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang beramal di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×