Penyu belimbing mendarat kali keempat di Terengganu, ‘hadiahkan’ 70 biji telur  - Utusan Malaysia

Penyu belimbing mendarat kali keempat di Terengganu, ‘hadiahkan’ 70 biji telur 

SEORANG pekerja melakukan proses pengeraman telur penyu belimbing di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Jabatan Perikanan Malaysia merekodkan pendaratan keempat penyu belimbing atau Raja Penyu di Terengganu tahun ini dengan 70 biji telur dapat diselamatkan di Pantai Jambu Bongkok, di sini, hari ini.

Pendaratan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 265 biji telur daripada empat sarang dipindahkan ke tapak pengeraman untuk tujuan perlindungan dan pemuliharaan sejak 1 September lalu.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, empat pendaratan dalam tempoh kira-kira sebulan itu adalah perkembangan bermakna dalam usaha berterusan melindungi spesies penyu belimbing di Terengganu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, usaha menyelamatkan telur dan menguruskan sarang secara terkawal penting bagi meningkatkan peluang kelangsungan hidup spesies berkenaan.

“Yang penting, telur yang berjaya diselamatkan kini berada dalam pengurusan yang terkawal bagi memberikan peluang kelangsungan hidup lebih baik,” katanya.

 

Beliau berkata, pemuliharaan penyu belimbing bukan hanya bergantung kepada pengurusan sarang, sebaliknya turut memerlukan perlindungan kawasan pendaratan, pemantauan berterusan serta kerjasama masyarakat khususnya komuniti setempat dan nelayan.

 

“Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan spesies ini terus mempunyai peluang untuk kembali mendarat dan membiak di perairan kita,” katanya.

 

Pendaratan pertama direkodkan pada 1 September lalu di Pantai Pasir Putih, Marang  membabitkan 44 biji telur manakala pendaratan kedua berlaku pada 13 September lepas di Pantai Rantau Abang dengan 81 biji telur.

 

Dalam kedua-dua pendaratan itu, penyu induk tidak ditemukan ketika pemeriksaan dijalankan. Pendaratan ketiga pula direkodkan pada 22 September lalu di Pantai Kuala Abang dengan 70 biji telur diselamatkan.

Dalam kejadian itu, penyu induk dapat ditemukan dan diukur oleh pegawai pemuliharaan dengan panjang karapas 215 sentimeter dan lebar karapas 115 sentimeter.

 

Terbaharu, penyu belimbing berkenaan mendarat di Pantai Jambu Bongkok awal pagi ini sebelum ditemui seorang nelayan kira-kira pukul 4 pagi.

Maklumat penemuan itu diterima Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang kira-kira pukul 5.30 pagi sebelum kerja menggali sarang dijalankan sejam kemudian.

Semua empat sarang kini berada di bawah pengurusan pemuliharaan TCIC Rantau Abang dengan telur ditanam semula pada kedalaman antara 80 hingga 100 sentimeter bagi menyediakan keadaan hampir sama dengan sarang semula jadi.

Telur daripada sarang pertama dijangka menetas antara 26 Oktober hingga 10 November, sarang kedua antara 7 hingga 22 November, sarang ketiga antara 16 November hingga 1 Disember, manakala sarang keempat antara 25 November hingga 10 Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×