Arya Saloka belajar ilmu ruqyah demi watak Ustaz Adam - Utusan Malaysia

Arya Saloka belajar ilmu ruqyah demi watak Ustaz Adam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Demi memastikan watak Ustaz Adam dalam filem Munafik: Melawan Iblis dilakonkan dengan penuh penghayatan, pelakon Indonesia, Arya Saloka sanggup mendalami ilmu ruqyah selain memantapkan semula bacaan Al-Qurannya.

Arya berkata, meskipun sudah boleh membaca Al-Quran sebelum ini, dia mengambil inisiatif untuk kembali belajar dari peringkat Iqra’ bagi memperkemaskan sebutan huruf, tajwid dan pelafalannya.

Menurutnya, semangat untuk memperbaiki bacaan Al-Quran turut tercetus selepas gurunya menonton filem Munafik dan memuji bacaan al-Quran yang ditampilkan Syamsul Yusof menerusi watak Ustaz Adam dalam versi asal filem berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Alhamdulillah, saya sudah boleh mengaji dan membaca Al-Quran sebelum ini.

“Tetapi selepas guru saya menonton filem Munafik dan memberitahu, ‘Masya-Allah, Ustaz Adam Malaysia (Syamsul Yusof), bacaan Al-Qurannya bagus sekali’, saya semakin termotivasi untuk belajar.

“Saya mengulangi semula pembelajaran dari Iqra’ untuk memantapkan tajwid dan hafalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Arya ditemui pada majlis tayangan perdana Munafik: Melawan Iblis di TGV, Suria KLCC, di sini, semalam.

Berkongsi mengenai persiapannya, pelakon Gadis Kretek itu berkata, dia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk memantapkan bacaan Al-Quran selain membuat persediaan lakonan sebelum memulakan penggambaran.

“Sebelum penggambaran, kami menjalani sesi latihan selama dua bulan.

“Dalam tempoh itu juga saya mengambil masa untuk memantapkan bacaan dan lakonan. Saya gunakan waktu tersebut sebaik mungkin, terutama untuk belajar kembali mengenai Al-Quran,” katanya.

Tidak sekadar memperbaiki bacaan, Arya turut mendapatkan tunjuk ajar daripada seorang ustaz yang berpengalaman dalam bidang Al-Quran dan ruqyah bagi memastikan penghayatan watak Ustaz Adam lebih meyakinkan.

“Saya mempunyai tenaga pengajar iaitu seorang ustaz yang sangat mahir dalam bidang Al-Quran dan ruqyah.

“Jadi, saya banyak belajar dengannya untuk memantapkan bacaan serta cara melakukan ruqyah,” ujarnya.

Mengulas cabaran menghafal ayat-ayat Al-Quran, Arya mengakui proses berkenaan bukan sesuatu yang mudah, namun bersyukur kerana segala urusannya dipermudahkan.

“Cukup berat, tetapi Allah mudahkan. Alhamdulillah,” katanya.

Selain Arya, Munafik: Melawan Iblis turut dibintangi Acha Septriasa, Dimas Aditya, Nova Eliza, Izabel Jahja, Widi Dwinanda dan Oce Permatasari.

Mereka menggantikan barisan pelakon asal versi Malaysia, antaranya Nabila Huda, Fizz Fairuz dan Sabrina Ali.

Filem berkenaan diterbitkan Unlimited Production dan Skop Productions dengan sokongan Legacy Pictures, AZ Films serta Komet Productions, manakala Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran di Malaysia.

Mengisahkan perjuangan Ustaz Adam menyelamatkan seseorang daripada jeratan iblis, Munafik: Melawan Iblis dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 1 Oktober.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×