KANGAR: Pendapatan pesawah merosot antara 20 sehingga 30 peratus ekoran purata hasil perhektar pesawah kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menunjukkan penurunan sekitar 22.74 peratus dalam tempoh tujuh tahun.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, penurunan tersebut direkodkan dari 2018 hingga 2024 iaitu daripada sekitar 5.111 tan metrik kepada 3.949 tan metrik perhektar iaitu penurunan hasil 1.162 tan.
Bagaimanapun katanya, pada 2025 menunjukan sedikit peningkatan kepada 5.03 tan perhektar.
Katanya, perkembangan itu turut menyukarkan hasrat mencapai sasaran kadar sara diri (SSL) beras negara kepada 80 peratus.
“Masih terlalu jauh menuju sasaran 80 peratus SSL. Sekarang SSL dalam kawasan MADA menyumbang sekitar 39 peratus berbanding sebelum ini 44 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mohd. Shazwan berkata, antara punca penurunan hasil adalah seperti ketidakseragaman jadual penanaman selain tahap kesuburan tanah sawah yang teruk.
Katanya, selain itu, masalah seperti serangan penyakit bawaan kulat dan bakteria, serangan keladi agas serta perubahan cuaca turut menjadi antara penyebab penurunan berkenaan.
“Masalah paling utama yang sering membelenggu pesawah sehingga menjejaskan pengeluaran hasil tersebut adalah seperti masalah sistem saliran serta infrastruktur, pembajaan dan kualiti benih yang dibekalkan,” katanya.
Menurut Mohd. Shazwan, bagi meningkatkan hasil, kesuburan tanah perlu diberi keutamaan selain semak imbang kualiti baja dan benih dibekalkan.
Beliau berkata, pesawah juga perlu mematuhi jadual tanaman padi mengikut fasa selain masalah infrastruktur seperti pengairan dan saliran perlu diselesaikan dengan segera.
“Peranan agensi terlibat juga perlu diperkasa dengan meletakan individu yang benar-benar mahir dalam bidang tanaman padi ini,” katanya.
Sementara itu, beliau juga menzahirkan kebimbangan apabila kawasan penanaman padi sudah semakin mengecil disebabkan pesawah sudah berputus asa beralih ke bidang lain.
“Dapat dilihat, semakin banyak tanah sawah terbiar selain tanah-tanah sawah dijadikan kawasan pembangunan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, menjelang musim kedua 2026, kebanyakan pesawah mula mempersoal sama ada berbaloi untuk meneruskan tanaman selepas menanggung kerugian ekoran isu kelewatan baja sebelum ini.
Selain itu, katanya, pesawah juga bimbang berkaitan soal hasil yang tidak menentu selain terkesan dengan kos semakin meningkat.
“Musim 2/2026 bukan soal pesawah tidak mahu menanam, tetapi mereka sudah mula bertanya sama ada berbaloi untuk terus menanam apabila hasil tidak menentu, kos terus meningkat dan kelewatan baja pada musim sebelumnya masih menghantui kebanyakan pesawah,” katanya. – UTUSAN











