Tidak pernah memaksa, menantu juga ada privasi - Che Ta  - Utusan Malaysia

Tidak pernah memaksa, menantu juga ada privasi – Che Ta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelakon dan selebriti popular, Rozita Che Wan atau lebih dikenali sebagai Che Ta, mengakui tidak pernah memaksa menantunya, Auni Ikhwan, untuk tinggal bersama keluarga biarpun sudah tiga bulan bergelar isteri kepada anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy.

Sebaliknya, Che Ta memilih untuk memberikan ruang dan kebebasan kepada pasangan itu membina kehidupan rumah tangga mereka sendiri.

Menurut Che Ta, keputusan berkenaan dibuat selepas mengambil kira keselesaan Auni sebagai seorang wanita yang mengenakan tudung, selain memahami bahawa pasangan yang baru berkahwin memerlukan privasi untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan berumah tangga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan saya tidak mahu mereka duduk bersama. Rumah pun memang ada 11 bilik dan pada awalnya kita ingat anak dan menantu akan duduk sekali. Tetapi apabila saya fikir semula, Auni memakai tudung dan saya tengok sendiri keadaannya apabila berada di rumah kita.

“Contohnya hujung minggu, kadang-kadang dia sudah bangun awal, sedangkan Ammar pula keluar bermain golf. Kalau dia mahu turun ke bawah, dia tetap perlu memakai tudung. Saya rasa kasihan juga kerana mungkin dia tidak selesa dan tidak bebas untuk bergerak seperti ketika berada di rumah sendiri,” katanya.

Che Ta berkata, dia tidak mahu keadaan itu menyebabkan menantunya berasa serba tidak kena sepanjang berada di rumah keluarga mentua.

Justeru, dia merasakan lebih baik Ammar dan Auni mempunyai kediaman sendiri supaya mereka dapat menjalani kehidupan sebagai suami isteri dengan lebih bebas.

“Kalau mereka tinggal dengan kita, mungkin banyak perkara menjadi terbatas. Rumah kita mungkin mempunyai susun atur dan cara hidup yang berbeza daripada apa yang mereka mahukan. Jadi, saya fikir lebih baik mereka duduk sendiri.

“Kalau mereka mahu datang bermalam di rumah saya, bilik sebelah masih kosong. Bila-bila masa mereka mahu datang, datanglah. Saya tidak pernah tutup pintu untuk anak dan menantu,” katanya.

Tidak mahu campur urusan rumah tangga anak

Dalam soal kehidupan rumah tangga Ammar dan Auni pula, Che Ta berkata, dia tidak mahu terlalu masuk campur atau memberikan terlalu banyak nasihat kepada menantunya.

Baginya, seorang isteri lebih mengenali suaminya selepas mereka hidup bersama, malah mungkin lebih mengetahui sisi peribadi Ammar berbanding dirinya sebagai ibu.

“Kita sebagai ibu memang rasa kita kenal anak kita, kita tahu perangai dia, cara dia bercakap dan cara dia melayan orang. Tetapi apabila dia sudah berkahwin, isteri sebenarnya lebih mengenali dirinya sebagai seorang suami.

“Jadi, saya rasa saya tidak perlu memberikan banyak petua kepada Auni. Dia sendiri akan tahu bagaimana hendak memahami, menangani dan menguruskan suaminya. Saya tidak mahu masuk campur kerana mereka sudah ada cara mereka sendiri dalam rumah tangga,” katanya.

Che Ta turut berseloroh bahawa seorang anak lelaki mungkin menunjukkan perangai berbeza ketika bersama ibu dan apabila bersama isteri.

“Kadang-kadang kita nampak anak kita ini lembut dan baik sahaja apabila bersama kita. Tetapi kita tidak tahu bagaimana pula perangainya apabila bersama isteri. Mungkin di depan ibu dia lain, tetapi apabila bersama isteri, dia pula yang menjadi ‘king’.

“Sebab itu saya tidak boleh menganggap saya lebih tahu tentang rumah tangga mereka. Biar Auni sendiri mengenali Ammar dan mereka belajar memahami satu sama lain,” katanya.

Pada masa yang sama, biarpun sudah menerima Auni sebagai sebahagian daripada keluarga, Che Ta mengakui dia sentiasa berhati-hati ketika berkomunikasi dengan menantunya itu.

Katanya, hubungan antara ibu mentua dan menantu memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding hubungan seorang ibu dengan anak sendiri.

“Saya memang sangat menjaga hati Auni. Kadang-kadang sebelum bercakap pun saya fikir beberapa kali, ‘Apa yang hendak saya cakap? Sesuai atau tidak kalau saya cakap begini?’

“Sebab kita tidak mahu kata-kata kita mengguris hati dia. Dia baru masuk dalam keluarga kita dan kita belum tahu sepenuhnya perkara yang mungkin membuatkan dia terasa atau kecil hati.

“Dengan anak sendiri, kita mungkin boleh bercakap terus dan menegur kalau ada sesuatu yang kita tidak suka. Tetapi dengan menantu, kita perlu lebih berhati-hati. Kita tidak boleh bercakap atau bertindak sesuka hati seperti kita bercakap dengan anak sendiri.

“Saya fikir perkara paling penting ialah menjaga hati. Kita mahu menantu rasa diterima dalam keluarga, bukan rasa seperti dia sedang diperhatikan atau dinilai setiap masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×