SEOUL: Seekor jerung yang tersesat tiba-tiba menjadi selebriti di Korea Selatan, menarik perhatian orang ramai, menerima pujian daripada datuk bandar tempatan malah turut memberi kesan kepada pasaran saham.
Pemangsa itu yang dipercayai daripada spesies jerung lembu muncul di sebuah saluran air buatan di bandar pelabuhan Busan di pantai tenggara Korea Selatan bulan ini.
Bot pengawal pantai cuba menghalau haiwan itu kembali ke laut dengan menyemburkan air ke arahnya, namun jerung yang diberi gelaran mesra ‘Bukhangi’ sempena nama pelabuhan itu oleh peminatnya, tidak berganjak.
Ketika pihak berkuasa masih memikirkan tindakan seterusnya, kehadiran jerung sepanjang 3.5 meter itu dan orang ramai yang datang melihatnya memberikan manfaat tidak dijangka kepada ekonomi tempatan.
Jualan aiskrim berbentuk jerung melonjak hampir 30 peratus di kedai serbaneka berhampiran.
Datuk Bandar Busan, Chun Jae-soo turut berterima kasih kepada jerung itu kerana membantu mempromosikan bandar berkenaan, yang menurutnya mungkin menelan belanja trillion yen jika dilakukan melalui kaedah biasa.
Sebagai penghargaan atas sumbangannya, Bukhangi dipilih sebagai duta kehormat promosi bandar itu dengan memperoleh 91 peratus undi.
Pihak lain turut mengambil kesempatan daripada fenomena berkenaan apabila saham The Pinkfong Company, studio yang menghasilkan lagu tular Baby Shark, melonjak lebih tujuh peratus untuk tempoh singkat.
Jerung lembu biasanya hidup di perairan subtropika dan tropika.
“Kehadiran jerung di perairan Korea Selatan sama sekali bukan perkara biasa. Apabila suhu air di sekitar Korea Selatan meningkat, ia dipercayai bergerak lebih dekat ke pantai negara ini,” kata Pakar Perikanan Global Universiti Kebangsaan Pukyong, Kim Jin-koo.
Populariti jerung itu turut disusuli lambakan khabar angin palsu.
Beberapa hari selepas kemunculannya, pihak berkuasa berkata, seekor lagi ikan dikesan di kawasan berkenaan, menyebabkan sesetengah pengguna media sosial mendakwa ia adalah anak Bukhangi dan berkongsi imej yang dijana kecerdasan buatan (AI) kononnya menunjukkan kedua-duanya.
Seorang pegawai bahagian dasar taman di Busan memberitahu AFP, tiada jerung lain dikesan sejak kemunculan Bukhangi.
Beliau berkata, pihak berkuasa akan mencuba sekali lagi untuk mengalihkan jerung itu pada Jumaat.
Jerung itu kini menyertai senarai haiwan luar biasa yang menjadi selebriti di Korea Selatan, terutama Neukgu, seekor serigala muda yang melarikan diri dari sebuah zoo pada April lalu.
Anak serigala itu berkeliaran selama sembilan hari sebelum berjaya ditangkap semula.-AFP











