Perkahwinan sering dikaitkan dengan kehadiran cahaya mata, namun bagi sebahagian pasangan, kehidupan berumah tangga tidak semestinya berakhir dengan keputusan untuk mempunyai anak.
Bagi Shakila Zen, 34, perkahwinan tetap menjadi pilihan untuk membina kehidupan bersama pasangan, tetapi menjadi ibu bukan sesuatu yang dirasakan perlu untuk melengkapkan rumah tangga mereka.
Keputusan memilih kehidupan tanpa anak atau childfree itu bagaimanapun bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya melalui perbincangan bersama suaminya sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
Shakila berkata, sebelum mengenali suaminya, beliau sendiri tidak mempunyai pendirian jelas mengenai soal anak dan masih keliru sama ada mahu mempunyai anak atau sebaliknya.
“Ketika suami bertanya sama ada saya mahu anak atau tidak, saya cakap saya tidak terlalu nak anak dan tidak juga tak nak anak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pendirian itu berubah selepas beliau dan suami mula berbincang mengenai kehidupan selepas berkahwin, termasuk persoalan sama ada mereka benar-benar bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Apabila kesihatan menjadi pertimbangan
Menurut Shakila, suaminya ketika itu sudah menyatakan pendirian tidak mahu mempunyai anak dan perbincangan tersebut membuatkan dia lebih jelas mengenai pilihan yang ingin dibuat bersama.
Keputusan itu turut mengambil kira keadaan kesihatannya yang tidak berada pada tahap baik untuk melalui fasa kehamilan dan menjalani kehidupan sebagai seorang ibu.
Menurutnya, dia pernah menjalani empat pembedahan termasuk berkaitan masalah sistem reproduktif dan usus, selain mengalami sista, Sindrom Ovari Polisistik (PCOS) serta keradangan pada bahagian ovari.

Shakila turut pernah mengalami kemalangan di tempat kerja sehingga menyebabkan masalah slip disc dan doktor menyarankannya supaya tidak mengandung.
“Dari segi kesihatan fizikal, saya rasa saya tidak sesuai, dan dari segi kesihatan mental pun saya rasa saya tidak boleh.
“Jadi bagi saya memang tidak adil untuk saya menjadi seorang ibu kepada anak-anak jika kesihatan sendiri tidak mengizinkan,” katanya.
Namun, kesihatan bukan satu-satunya perkara yang dipertimbangkan apabila pasangan itu turut melihat keadaan pekerjaan dan gaya hidup mereka yang sentiasa bergerak dari satu tempat ke tempat lain.
Hak seorang anak
Shakila berkata, dia dan suami turut memikirkan sama ada kehidupan mereka mampu memberikan perkara yang sepatutnya diterima seorang anak, termasuk masa, perhatian, kasih sayang dan keperluan kewangan.
Menurutnya, pengalaman membesar dalam keluarga masing-masing turut mempengaruhi cara mereka melihat tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Syakila membesar dalam keluarga berpendapatan sederhana dan menerima pendidikan serta keperluan yang baik, namun kurang mendapat perhatian daripada ibu bapanya yang kedua-duanya sibuk bekerja.
Suaminya pula membesar dalam keluarga yang mempunyai sumber kewangan terhad tetapi menerima lebih banyak perhatian dan kasih sayang daripada ibu bapanya.
Perbezaan pengalaman itu membuatkan mereka memikirkan persoalan sama ada mereka mampu memberikan keseimbangan yang diperlukan sekiranya mempunyai anak.
Penerimaan keluarga
Keputusan tersebut bagaimanapun tidak terus diterima baik semua pihak, terutama keluarga Shakila yang pada awalnya sukar memahami pilihan mereka.
Keluarga suaminya lebih terbuka menerima keputusan itu selepas suaminya menjelaskan pendirian mereka sebelum berkahwin, termasuk keadaan kesihatan Shakila.
Malah, ibu mentuanya pernah mempertahankan pasangan itu apabila saudara-mara bertanyakan soal zuriat dan meminta mereka tidak memberikan tekanan kepada Shakila.
Tidak semestinya akibat trauma
Pakar Perunding Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Rahima Dahlan berkata, keputusan childfree tidak semestinya berpunca daripada masalah psikologi, trauma atau sikap mementingkan diri.

Menurutnya, antara faktor yang boleh mempengaruhi keputusan tersebut termasuk keinginan terhadap autonomi dan kebebasan menentukan hala tuju kehidupan, keutamaan terhadap kerjaya serta perkembangan diri dan penilaian terhadap kesediaan emosi untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.
Dr. Rahima berkata, generasi muda juga semakin menyedari membesarkan anak memerlukan komitmen besar dari segi emosi, masa, kewangan dan perubahan gaya hidup.
Pilihan dan jangkaan masyarakat
Dr. Rahima berkata, keputusan childfree tidak wajar ditafsirkan secara mudah sebagai keengganan memikul tanggungjawab kerana bagi sesetengah individu, keputusan itu mencerminkan penilaian terhadap kemampuan dan kesediaan sebelum mengambil tanggungjawab besar sebagai ibu bapa.
Menurutnya, menjadi ibu atau bapa merupakan satu daripada pengalaman yang boleh memberikan rasa tujuan, identiti dan makna dalam kehidupan, tetapi ia bukan satu-satunya laluan untuk mencapai perkembangan psikologi yang sihat.
Individu yang memilih childfree secara sedar juga masih boleh memperoleh makna kehidupan melalui hubungan pasangan, keluarga, persahabatan, kerjaya, aktiviti kemasyarakatan serta sumbangan kepada generasi seterusnya dalam bentuk lain.
Namun, katanya, perspektif seseorang terhadap kehidupan boleh berubah mengikut usia dan pengalaman, termasuk kemungkinan seseorang kekal dengan keputusan tersebut, berubah fikiran atau mengalami penyesalan, sebagaimana perkara sama boleh berlaku kepada individu yang memilih untuk menjadi ibu bapa.

Dalam konteks masyarakat, keputusan mengenai zuriat pula sering tidak dilihat sebagai urusan pasangan semata-mata kerana masih terdapat jangkaan seseorang perlu berkahwin dan selepas itu mempunyai anak.
Justeru, Dr. Rahima berkata, pasangan perlu diberikan ruang untuk membuat keputusan mengenai zuriat berdasarkan kesediaan, keadaan kehidupan dan nilai mereka sendiri, bukannya semata-mata untuk memenuhi tekanan sosial.
Zuriat dalam neraca agama
Dalam melihat keputusan pasangan memilih kehidupan tanpa anak, perspektif Islam turut mengambil kira tujuan perkahwinan yang bukan sahaja membina hubungan antara suami isteri, malah merangkumi soal memperoleh zuriat.
Menurut Pengarah Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Sarip Adul, keputusan pasangan yang menetapkan kehidupan childfree secara kekal bertentangan dengan maksud utama pernikahan sekiranya dibuat tanpa alasan yang diterima syarak.

Katanya, memperoleh zuriat merupakan antara tujuan penting perkahwinan, termasuk bagi memastikan kesinambungan keturunan manusia dan memperbanyakkan umat Islam.
Namun katanya, terdapat perbezaan antara keputusan untuk tidak mempunyai anak selama-lamanya dengan keputusan pasangan yang hanya mahu menangguhkan kehamilan atas sebab tertentu.
“Bagi pasangan yang bersepakat tidak mahu mempunyai anak sementara kerana faktor kewangan, kerjaya atau tidak mampu memikul tanggungjawab keibubapaan maka keputusan mereka adalah harus,” katanya.
Namun, penangguhan tanpa sebarang keuzuran walaupun hanya untuk tempoh tertentu boleh berada pada hukum makruh.
Dalam masa sama, keadaan kesihatan dan faktor biologi turut menjadi pertimbangan apabila membincangkan pasangan yang memilih untuk tidak mempunyai anak.
Dr. Sarip berkata, pasangan yang memilih childfree secara kekal disebabkan masalah kesihatan fizikal atau keadaan biologi yang tidak mengizinkan mereka mempunyai anak tidak dianggap melakukan kesalahan atau berdosa.
Katanya, perkara itu menunjukkan keadaan pasangan perlu dilihat secara khusus dan keputusan mengenai zuriat tidak boleh dihukum hanya berdasarkan pilihan untuk tidak mempunyai anak tanpa memahami sebab di sebaliknya.
Beliau berkata, keputusan untuk memilih childfree selama-lamanya tanpa alasan yang diterima syarak adalah berbeza kerana ia dianggap bertentangan dengan tujuan utama perkahwinan.

Menurut Dr Sarip, konsep hifz al-nasl atau pemeliharaan keturunan dalam maqasid syariah turut menjadi asas dalam melihat persoalan zuriat.
Katanya, Islam membenarkan seseorang menjaga kepentingan peribadi selagi ia tidak menggugat kepentingan umum, namun kepentingan umum perlu diutamakan sekiranya berlaku pertentangan antara kedua-duanya.
Dalam konteks pasangan suami isteri, katanya, keputusan untuk tidak mempunyai anak boleh menjadi hak bersama sekiranya terdapat kemaslahatan tertentu kepada kedua-duanya, tetapi perkara itu perlu mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Justeru, keputusan berkaitan zuriat bukan sepatutnya dibuat oleh seorang pasangan sahaja kerana ia menyentuh kehidupan dan hak kedua-dua suami isteri.
Pada masa sama, Dr. Sarip berkata isu zuriat turut berkait dengan kepentingan masyarakat dan negara melalui konsep pemeliharaan keturunan, termasuk usaha menggalakkan kelahiran dan kesinambungan generasi.











