KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia melancarkan model baharu Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé dan model elektrik sepenuhnya, Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé bersempena kepulangan sukan permotoran Formula 1 ke negara ini.
Bagi pasaran Semenanjung Malaysia, Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé ditawarkan pada harga anggaran bermula RM2.08 juta, manakala model elektrik Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé pula dianggarkan bermula daripada RM1.29 juta.
Dalam pada itu, edisi terhad Motorsport Collectors Edition turut dijual pada harga RM2.59 juta dengan hanya 200 unit yang dikeluarkan terhad di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Cars Malaysia merangkap Ketua Rantau Mercedes-Benz Cars Asia Tenggara, Martin Schulz berkata, kepulangan sukan permotoran Formula 1 selepas sembilan tahun amat dinantikan oleh peminat tempatan.
“Sudah sembilan tahun kita tidak menyaksikan penganjuran Formula 1 di Malaysia dan kami amat teruja untuk menyambut kembali acara ini. Semangat sukan ini di Malaysia sangat luar biasa dengan ramai peminat memakai baju Formula 1.
“Tahun ini juga menandakan sambutan 140 tahun inovasi sejak pengasas kami mencipta automobil pertama di dunia, manakala tahun depan kita bakal menyambut ulang tahun ke-60 AMG yang sentiasa menguji keupayaan serta mengecilkan had fizik.
“Pelancaran dua model baharu keluarga AMG ini adalah platform terbaik untuk memulakan sambutan berkenaan,” katanya semasa majlis pelancaran di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Mercedes-Benz Cars Malaysia, Kevin Barbian berkata, pengenalan Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé menawarkan sebuah jentera litar lumba yang sah dan selamat untuk pemanduan di jalan raya.
“Mercedes-AMG GT 63 PRO adalah sebuah ‘road-legal race car’ dan hari ini merupakan waktu paling tepat untuk melancarkannya bersempena F1.
“Selain itu, kami turut menawarkan Motorsport Collectors Edition yang hadir dengan kemasan livery eksklusif. Model ini amat istimewa kerana ia hanya dihadkan kepada 200 unit dan pelanggan di Malaysia berpeluang untuk menjadi antara pemilik bertuah,” katanya.
Pelancaran dua model berprestasi tinggi itu mengukuhkan lagi portfolio Mercedes-AMG di pasaran tempatan dengan menawarkan gabungan kejuruteraan litar lumba, kuasa dinamik serta prestasi pemanduan tanpa kompromi.
Dari segi prestasi, Mercedes-AMG GT 63 PRO 4MATIC+ Coupé mampu memecut dari 0 hingga 200 kilometer per jam (km/j) dalam masa 10.9 saat dengan kelajuan maksimum mencecah 317 km/j.
Dalam pada itu, Mercedes-AMG GT 63 4-Door Coupé pula dibina berasaskan seni bina elektrik khusus AMG.EA yang dilengkapi tiga motor axial-flux dan bateri 800-volt, menghasilkan kuasa gergasi sehingga 860 kW (1,169 hp) dan tork maksimum 2,000 Nm.
Jentera elektrik empat pintu ini berkeupayaan memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa hanya 2.4 saat dengan jarak pemanduan elektrik sehingga 697 km (WLTP), serta menyokong pengecasan pantas DC 350 kW yang membolehkan pengecasan 10 hingga 80 peratus dicapai dalam tempoh 16 minit. – UTUSAN











