SEPANG: Kimi Antonelli bertekad menjadikan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pentas kebangkitan selepas kelebihan dalam saingan kejuaraan dunia Formula Satu (F1) susut susulan episod mengecewakan di Grand Prix (GP) Azerbaijan, hujung minggu lalu.
Pelumba Mercedes berusia 20 tahun itu kini mengungguli kedudukan kejuaraan dengan 66 mata mengatasi rakan sepasukannya, George Russell, namun buat kali pertama dalam tempoh enam perlumbaan, Russell berjaya merapatkan jurang selepas muncul juara di Baku.
Antonelli menamatkan perlumbaan di tempat kelima selepas masalah sistem hidraulik ketika latihan disusuli insiden terbabas pada sesi kelayakan menyaksikan dia terpaksa bermula dari petak ke-16.
Situasi itu jelas bukan gambaran prestasi sebenar Antonelli yang menyifatkan pemanduannya di Azerbaijan secara berseloroh seperti ‘memandu seperti neneknya’.
Kini, dia mahu melupakan episod berkenaan dan kembali ke tahap terbaik apabila F1 kembali menggegarkan Sepang pada Ahad ini, menggantikan GP Bahrain yang dibatalkan pada April lalu susulan konflik di Asia Barat.
“Dia sentiasa menjadi pencabar saya. Tetapi saya akan pastikan bangkit semula dan memastikan saya kembali ke tahap biasa,” kata Antonelli.
Russell pula tidak menyembunyikan sasaran besarnya apabila merancang untuk memburu kemenangan dalam kesemua lapan hujung minggu perlumbaan yang masih berbaki musim ini.
Antonelli yang memburu kejuaraan dunia pertama buat Itali sejak Alberto Ascari pada 1953, baru berusia 11 tahun ketika F1 kali terakhir beraksi di Sepang pada 2017. – AGENSI/UTUSAN











