NEW YORK: Pentagon memilih gergasi penerbangan Boeing bagi membina jet pejuang generasi baharu Tentera Laut negara itu melalui kontrak bernilai AS$20 bilion (RM81.5 bilion).
Kenyataan rasmi Pentagon menjelaskan kontrak tersebut membabitkan pengeluaran pesawat F/A-XX atau strike fighters di bawah Program Keutamaan Udara Generasi Seterusnya.
Langkah ini bertujuan menggantikan armada jet pejuang sedia ada, Super Hornets yang bakal diundur secara berperingkat bermula dekad 2030-an.
Pengumuman ini menandakan kali kedua Boeing dipilih Pentagon di bawah pentadbiran kedua Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi menghasilkan sistem senjata generasi keenam, selepas kontrak jet pejuang stealth Tentera Udara AS pada Mac 2025.
Ketua Pertahanan, Angkasa dan Keselamatan Boeing, Steve Parker menegaskan syarikatnya bersedia membina dua jet pejuang canggih secara serentak mengikut pelaburan dan perancangan yang ditetapkan.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Pentagon, Michael Duffey menyifatkan platform F/A-XX sebagai pelaburan kritikal bagi keselamatan nasional dan keupayaan tempur udara jangka panjang AS.
Pihak Boeing mengesahkan kerja-kerja pembinaan kini sedang berjalan di fasiliti pembuatan berkeselamatan tinggi milik syarikat itu di St. Louis yang merupakan fasiliti terbesar seumpamanya di negara berkenaan.
Bagaimanapun, perincian teknikal dan maklumat program F/A-XX kekal diklasifikasikan sebagai maklumat sulit di bawah undang-undang keselamatan nasional serta undang-undang eksport AS.
Dalam persaingan mendapatkan kontrak berkenaan, Boeing berjaya menewaskan syarikat aeroangkasa Northrop Grumman yang turut menawarkan reka bentuk jet pejuang generasi keenam berasaskan teknologi digital.
Pada Mei 2026, Ketua Operasi Tentera Laut, Laksamana Daryl Caudle memaklumkan Senat sistem baharu ini amat diperlukan untuk meningkatkan jangkauan dan ketepatan tempur, selain beroperasi bersama sistem tanpa pemandu.
Caudle turut memberi amaran sebarang kelewatan dalam menempatkan keupayaan penerbangan kapal pengangkut generasi baharu ini akan memberi risiko tinggi kepada penguasaan udara dan kelangsungan operasi ketenteraan.
Ekoran pengumuman tersebut, saham Boeing mencatatkan peningkatan sebanyak 2.4 peratus dalam dagangan selepas waktu pejabat, manakala saham Northrop Grumman pula menyusut 3.6 peratus.-AFP











