JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan bahawa sebilangan banduan di Penjara Cibinong di Bogor, Jawa Barat diberikan akses kepada kediaman dan kemudahan mewah, susulan penemuan oleh Lembaga Ombudsman Indonesia.
Menurut laporan media tempatan, badan kerajaan berkenaan menemui sekumpulan unit kediaman yang berasingan daripada sel tahanan biasa semasa mengadakan pemeriksaan mengejut pada 23 September lalu.
Portal berita Tempo melaporkan bahawa kira-kira 13 unit kediaman pelbagai jenis ditemukan di bahagian belakang kediaman rasmi ketua penjara.
Beberapa banduan turut ditemukan berada di dalam unit-unit berkenaan.
Salah seorang banduan kes rasuah terkenal, bertindak mengunci pintu sebuah bilik semasa pasukan Ombudsman menceroboh masuk ke salah sebuah rumah berkenaan.
Ketua Pemeriksa Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan, Rudi Setiawan berkata, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut.
Beliau turut menjelaskan bahawa rumah-rumah berkenaan sepatutnya dijadikan sebagai kediaman rasmi bagi pegawai-pegawai penjara.
Sementara itu, The Jakarta Post melaporkan bahawa pihak Ombudsman mengesyaki banduan telah menduduki sekurang-kurangnya 10 buah rumah di dalam kompleks penjara tersebut.
Kediaman itu merangkumi bilik berasaskan gaya apartmen yang dilengkapi penyaman udara, televisyen, sofa dan peti sejuk.
Kemudahan gimnasium, simulator golf dan kawasan tempat letak kenderaan yang menempatkan kereta-kereta mewah turut ditemukan semasa pemeriksaan.
Pihak Ombudsman memberitahu bahawa bayaran telah dibuat bagi mendapatkan akses kepada kemudahan berkenaan.
Laporan The Jakarta Post menyatakan salah seorang banduan didakwa membayar sebanyak 160,000 rupiah (RM44) seminggu.
Ekoran penemuan itu, ahli Ombudsman, Syafrida R Rasahan menggesa Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan untuk menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan pelanggaran undang-undang.
Tempo melaporkan kenyataan Rudi yang mengesahkan bahawa seramai 52 banduan telah disoal siasat setakat Sabtu lalu.
Siasatan turut melibatkan 54 pegawai Penjara Cibinong telah dijadualkan.
Dalam pada itu, lima pegawai penjara telah digantung tugas berikutan skandal berkenaan, termasuk ketua penjara dan ketua-ketua unit keselamatan penjara, pembinaan tahanan serta urusan am. – AGENSI











