Selesaikan segera isu pekerja bank, jangan biar tuntutan berlarutan - Mohd. Sharkar - Utusan Malaysia

Selesaikan segera isu pekerja bank, jangan biar tuntutan berlarutan – Mohd. Sharkar

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig UMNO Malaysia menegaskan isu kebajikan serta hak pekerja sektor perbankan yang dibangkitkan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) perlu diselesaikan segera tanpa dibiarkan berlarutan.

Sebanyak 43 surat dikemukakan kepada Perdana Menteri sejak 2024, melibatkan tuntutan yang menyentuh nasib kira-kira 15,000 pekerja bank di seluruh negara. Antara isu utama termasuk Perjanjian Kolektif CA20, Bantuan Perayaan, hak kesatuan sekerja dan rundingan kolektif serta kebajikan pekerja dalam kelompok B40 dan M40.

Pengerusi Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, rundingan CA20 perlu dipercepatkan kerana ia merupakan instrumen penting dalam menentukan terma pekerjaan dan faedah pekerja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekiranya terdapat perkara yang masih belum dipersetujui, semua pihak digesa kembali ke meja rundingan dengan semangat mencari titik persamaan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd. Sharkar dalam pada itu berkata, isu bantuan perayaan turut menjadi perhatian kerana ia berkait langsung dengan beban kewangan pekerja dan keluarga sektor tersebut.

“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, kepastian tentang faedah tersebut cukup penting bagi mewujudkan hubungan perusahaan yang stabil,” katanya.

Menurutnya, hak kesatuan sekerja untuk mewakili kepentingan pekerja dan terlibat dalam rundingan kolektif mesti dihormati kerana ia bukan sekadar platform tuntutan, tetapi mekanisme penting dalam hubungan perusahaan yang tersusun.

“Sekiranya berlaku perbezaan pandangan, pendekatan terbaik ialah melalui dialog, rundingan dan mekanisme penyelesaian pertikaian yang tersedia, bukannya membiarkan isu berlarutan tanpa hala tuju,” katanya.

Beliau berkata, perubahan dalam pendapatan atau faedah pekerjaan memberi kesan langsung kepada pembayaran rumah, pendidikan anak-anak dan komitmen keluarga.

Justeru, katanya, isu pekerja bank perlu dilihat sebagai isu sosial dan ekonomi, bukan sekadar pertikaian kesatuan-majikan.

“Difahamkan, NUBE akan hadir ke Pejabat Perdana Menteri pada 3 Oktober ini bagi menyatakan protes dan mengadakan tunjuk perasaan. Sekiranya perkara itu berlaku, Sekretariat Kesatuan Sekerja dan Ekonomi Gig UMNO Malaysia tidak mempunyai masalah untuk menghantar wakil bersama kesatuan-kesatuan sekerja lain,” katanya.

Tegasnya, ekonomi kukuh bukan hanya diukur melalui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), tetapi juga melalui kemampuan rakyat bekerja menyara keluarga dan menikmati hasil pembangunan secara adil.

“Dalam masa sama, kepentingan majikan dan daya saing sektor perbankan perlu diambil kira. Sektor perbankan yang kukuh mesti seiring dengan perlindungan kebajikan pekerja.

“Sekretariat menyeru NUBE, pihak bank, persatuan majikan, kementerian dan kerajaan supaya menggunakan semua saluran yang ada untuk menyelesaikan isu ini secara matang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×