Tiada kena-mengena langsung lantikan saya daripada ahli politik - Shahrol Shiro - Utusan Malaysia

Tiada kena-mengena langsung lantikan saya daripada ahli politik – Shahrol Shiro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelawak, Shahrol Shiro, mendedahkan di sendiri yang mencadangkan agar seni komedi dijadikan salah satu kursus Citra di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selepas melihat bidang itu mampu membantu mahasiswa membina keyakinan ketika berada di atas pentas.

Shahrol atau Shahrol Azizie Azmi, 42, berkata, cadangan itu dikemukakannya ketika bertemu Prof. Dr. Norinsan untuk berbincang mengenai kursus Citra yang ditawarkan di UKM pada tahun lalu.

“Ceritanya bermula tahun lepas apabila saya berjumpa dengan Prof. Dr. Norinsan. Katanya banyak Citra yang ditawarkan kepada pelajar, antaranya Citra e-sukan, Citra pengusaha masjid, Citra pengusaha jenazah dan pengawalan berat badan pun ada Citra juga.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sampailah Citra seni konvoi bermotosikal, itu pun boleh menjadi satu Citra di UKM ini. Dalam perbualan tersebut, saya ada cadangkan di bawah Citra Seni Lakon, apa kata kita wujudkan Citra Seni Komedi,” katanya menerusi satu hantaran video di Instagram miliknya.

Shahrol berkata, cadangan itu dibuat kerana UKM mempunyai sejarah tersendiri dalam menyokong perkembangan seni komedi, termasuk pernah menjadi lokasi rakaman sitkom terkenal, Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

“Antara universiti yang terawal mendukung seni komedi ini adalah UKM. Buktinya, pada satu masa dahulu, rakaman Pi Mai Pi Mai Tang Tu telah pun dibuat di Panggung Eksperimen UKM yang hari ini dikenali sebagai Panggung Seni UKM.

“Mengikut kajian, generasi akan datang akan memiliki titik fokus yang lebih rendah daripada generasi hari ini kerana media sosial. Bila dia tidak suka, dia akan leret, tetapi dengan komedi, dia akan lebih fokus dan lebih tumpu pada mesej yang hendak disampaikan.

“Itu adalah antara kelebihan jika mereka belajar seni komedi ini.,” katanya.

Selepas pertemuan itu, Shahrol berkata, dia bersama beberapa komedian tempatan turut dijemput untuk memeriahkan Malam Citra UKM dan diberi peluang membuat persembahan komedi berdiri.

“Selepas perjumpaan itu, saya dan juga beberapa komedian Malaysia dijemput untuk meraikan Malam Citra UKM. Mereka juga memberi penghormatan kepada saya untuk membuat persembahan komedi berdiri.

“Alhamdulillah, sambutannya sangat luar biasa. Dan ini yang terjadi hari ini, mereka menawarkan saya sebagai salah seorang tenaga pengajar khusus Citra UKM,” katanya.

Shahrol pada masa sama menegaskan pelantikannya itu tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Jadi, saya mohon kepada anda semua, hentikanlah spekulasi yang mengatakan lantikan saya ini daripada ahli politik. Tak ada kena-mengena langsung,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrol mengakui dirinya masih dalam proses melengkapkan pengajian di peringkat ijazah dan menyedari kelayakan akademiknya ketika ini hanya pada peringkat diploma.

“Saya sedar dan insaf, saya ini hanyalah pemegang diploma. InsyaAllah, doakanlah semoga ijazah saya habis tahun ini.

“Bagi saya, universiti membawa akademik, orang industri membawa pengalaman di lapangan. Apabila kedua-duanya ini bertemu dan bersatu, insya-Allah akan membawa manfaat kepada adik-adik mahasiswa,” katanya.

Terdahulu, Shahrol Shiro mengumumkan dilantik sebagai tenaga pengajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi bagi Semester I sesi 2026/2027.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×