Zelensky dakwa Russia lancar 3,900 dron ke atas Ukraine

Zelensky dakwa Russia lancar 3,900 dron ke atas Ukraine dalam tempoh seminggu

SEBUAH pasar dibedil dron Russia di Zaporizhzhia kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendakwa Russia melancarkan 3,900 dron, kira-kira 1,650 bom udara dan 38 peluru berpandu pelbagai jenis ke atas negaranya sepanjang ming­gu lalu.

Zelensky menerusi kenyata­an di aplikasi Telegram turut memaklumkan bahawa tiga individu terkorban di wilayah Zaporizhzhia, manakala seorang lelaki maut di Kyiv akibat serangan dron pada Ahad.

Beliau meluahkan rasa dukacita berhubung kematian beberapa penduduk tempatan akibat siri serangan yang dilancarkan oleh tentera Russia pada malam berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Zelensky turut memberitahu bahawa sebuah pusat data di Kyiv diserang sebanyak dua kali pada sebelah pagi di mana serangan pertama mencederakan tiga individu termasuk dua kanak-kanak.

Beliau menegaskan Kyiv te­rus bekerjasama rapat dengan negara-negara Eropah, Amerika Syarikat (AS), Kanada, Jepun, Australia dan rakan kongsi lain bagi memperkukuh pertahanan Ukraine serta meneruskan usaha diplomatik.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Russia memaklumkan bahawa pasukannya telah membedil prasarana logistik, pelabuhan, pengangkutan, kemudahan komunikasi dan kapal yang digunakan untuk kepen­tingan angkatan tentera Ukraine.

Kementerian itu menambah, pusat data Vodafone di Kyiv, pusat logistik di wilayah Kyiv, dua gudang dron di Mykolaiv dan sebuah pusat logistik di wilayah Odesa antara sasaran yang berjaya dimusnahkan.

Ia turut mendakwa me­lancarkan serangan ke atas ibu pejabat pangkalan tentera laut Ukraine, kemudahan pengawal sempadan, stor simpanan tentera dan prasarana pelabuhan di bandar Kiliia, selain sebuah kapal kargo yang membawa bekalan ketenteraan ke pelabuhan Odesa.

Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Pertahanan Russia menyatakan bahawa Pasukan Kumpulan Utara mereka telah menguasai kawasan pe­nempatan Khrypuny di wilayah Kharkiv, Ukraine. 

Sementara itu, serangan Russia mengorbankan lapan orang di seluruh Ukraine. 

Ia berlaku sehari selepas Moscow berikrar untuk mencapai matlamat perangnya walau apa pun keadaannya, kata pihak berkuasa pada Ahad.

Russia meningkatkan se­ra­­­ngan terhadap ibu ­negara Ukraine pada tahun kelima pencerobohannya, dengan Ukrai­ne me­nuduh Moscow se­nga­ja menyasarkan orang awam ketika negara itu bersiap menghadapi satu lagi musim sejuk yang sukar.

Menteri Dalam Negeri, Ivan Vyhivskyi mengumumkan jumlah korban terbaharu pada Ahad, dengan berkata, serangan Russia mengenai sebuah pusat kanak-kanak di bandar Sumy, utara negara itu, mengorbankan tiga orang termasuk seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.  – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×