TEHERAN: Media kerajaan di Iran pada Isnin melaporkan bahawa delegasi Iran ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak mempunyai sebarang rundingan yang dirancang dengan Amerika Syarikat (AS), selepas Presiden AS, Donald Trump berkata, beliau menjangka lebih banyak rundingan akan berlangsung.
“Delegasi Iran di New York tidak mempunyai rancangan untuk mengadakan rundingan dengan Amerika,” lapor agensi berita rasmi IRNA, memetik sumber tanpa nama yang dekat dengan kumpulan berkenaan.
Trump memberitahu saluran media Axios pada Ahad bahawa beliau menjangka rundingan akan disambung semula tidak lama lagi, sehari selepas beliau menolak cadangan Teheran untuk membuka semula Selat Hormuz dalam tempoh tujuh hari.
“Pandangan dan pendirian Iran telah disampaikan dengan jelas dan terang kepada pihak AS melalui pengantara Qatar,” lapor IRNA, sambil menambah bahawa delegasi negaranya akan kembali ke Teheran pada Selasa.
Iran berkata, pihaknya mengemukakan tujuh syarat bagi menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz, laluan perairan strategik yang sebelum perang menjadi laluan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas dunia.
Selat itu menjadi tumpuan utama konflik yang tercetus selepas serangan AS-Israel terhadap Iran pada Februari.
Susulan serangan itu, Teheran mengetatkan kawalan terhadap laluan perairan berkenaan, manakala Washington bertindak balas dengan mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran.
Axios melaporkan rundingan tidak langsung yang dipengantarai Qatar mungkin berlangsung seawal Isnin, kurang seminggu selepas perbincangan serupa antara utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner dengan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi.
Iran menuntut gencatan senjata selama tujuh hari di seluruh Asia Barat, termasuk di Lubnan, tempat sekutunya Hizbullah sering menjadi sasaran serangan Israel.
Iran turut menuntut pembekuan aset asingnya ditarik balik, sekatan terhadap sektor minyaknya dihentikan dan sekatan laut AS ditamatkan.
Trump menolak tuntutan berkenaan pada Sabtu.
Namun, pertempuran kembali reda apabila AS tidak melancarkan serangan terhadap Iran sejak 1 September, walaupun kapal-kapal masih kerap menjadi sasaran serangan di Selat Hormuz. – AFP











