Jenazah Tun Siti Hasmah selamat dikebumi di Pusara Negara

Jenazah Tun Siti Hasmah selamat dikebumi di Pusara Negara

Jenazah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara dekat Presint 20 di sini kira-kira pukul 6.20 petang tadi.-UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jenazah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali selamat dikebumikan dengan penuh Istiadat Pengebumian Pembesar Negara di Pusara Negara dekat Presint 20 di sini kira-kira pukul 6.20 petang tadi.

Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pagi tadi dikebumikan berhampiran pusara isteri bekas Perdana Menteri, Tun Endon Mahmood.

Istiadat pengebumian itu diketuai Kapten Ahmad Saufi Md. Isa dari Markas Tentera Darat selain disertai lapan pegawai daripada gabungan Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Upacara bacaan talkin disempurnakan oleh Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Dr Muhamad Zakuwa Rodzali.

Ribuan orang ramai hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Siti Hasmah sejak pukul 2.00 petang.

Yang turut berkenan hadir kerabat diraja Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang ditemani Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah serta Tengku Puteri Raja Tengku Afzan Aminah Hafidzatullah pada pukul 4.45 petang.

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib dan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin antara kenamaan yang hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham selain Menteri-Menteri Kabinet.

Istiadat pengebumian itu disempurnakan selepas jenazah dibawa ke Pusara Negara usai solat jenazah dekat Masjid As-Syarif di Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan kira-kira pukul 4.30 petang tadi.

Turut menyaksikan istiadat pengebumian itu ialah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dibawa dengan menggunakan kerusi roda.

Turut kelihatan ialah cahaya mata kepada pasangan tokoh negara itu termasuk Datuk Seri Marina Mahathir, Tan Mokhzani Mahathir dan Datuk Seri Utama Mukhriz Mahathir.

Untuk rekod, Tun Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor dan merupakan anak keenam daripada 10 beradik.

Dr. Siti Hasmah mengikuti pengajian di King Edward VII College of Medicine dan menjadi satu-satunya pelajar wanita Melayu dalam kumpulannya.

Di institusi itulah beliau bertemu Tun Mahathir sebelum kedua-duanya mendirikan rumah tangga pada 4 Ogos 1956 dan memiliki tujuh cahaya mata. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×