Projek padi ratun masih dalam peringkat kajian - Rashidi Zinol

Projek padi ratun masih dalam peringkat kajian – Rashidi Zinol

RASHIDI Zinol (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada seorang penerima pada Program Penyerahan Bantuan Sara Hidup Kepada Pesawah Padi dan Petani Sayur di PPK Sungai Acheh, Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIBONG TEBAL : Projek penanaman padi ratun atau ‘ratoon rice’ di Pulau Pinang ketika ini masih dalam peringkat kajian dengan tanaman percubaan sedang diusahakan di satu kawasan di Balik Pulau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan serta Keusahawanan negeri, Datuk Rashidi Zinol berkata, beliau juga berkesempatan untuk turun ke lokasi bagi meninjau perkembangan projek itu sebelum ini.

“Kerajaan negeri amat tertarik dengan pelaksanaan projek ini kerana padi ratun berpotensi untuk memberikan hasil sehingga dua atau tiga kali dengan satu tanaman sekali gus memberikan manfaat yang besar kepada pesawah jika ia dilaksanakan (pada skala yang besar) di Pulau Pinang,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau ditemui semasa menghadiri Program Penyerahan Bantuan Sara Hidup Kepada Pesawah Padi dan Petani Sayur di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh di sini, hari ini. Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim.

Tahun lepas, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memaklumkan bahawa Pulau Pinang bersedia menjadi negeri perintis untuk pelaksanaan projek teknologi penanaman padi ratun iaitu sejenis kaedah moden yang membolehkan padi dituai lebih daripada sekali dengan sekali tanaman.

Sementara itu, Rashidi berkata, projek tanaman padi ratun di Balik Pulau ketika ini merupakan percubaan peringkat kedua dengan menggunakan semula benih atau tanaman yang tumbuh selepas penuaian pertama.

Justeru, beliau berharap proses tanaman akan bermula dari peringkat awal semula pada musim penanaman padi akan datang bagi membolehkan sistem pengairan dan saliran ditambah baik sebelum projek itu diperluas ke lokasi lain.

“insya-Allah, kita sedang berusaha ke arah itu. Kita juga akan dapatkan khidmat nasihat serta penyertaan daripada MaARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia), Jabatan Pertanian serta jabatan berkaitan mengenai projek tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memberitahu, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3.28 juta bagi membantu kira-kira 6,500 petani atau pesawah serta penanam sayur di Pulau Pinang selepas mengambil kira kos sara hidup ekoran peningkatan kos bahan api serta input pertanian.

Katanya, kali terakhir bantuan seumpama itu diberikan ialah pada 2023 dan kerajaan negeri akan sentiasa mencari ruang untuk membantu golongan-golongan ini termasuk nelayan berdasarkan kemampuan kewangan negeri pada masa depan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×