IPOH: Seorang guru agama sebuah sekolah menengah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, dua tahun lalu.
Tertuduh, Haslina Abu Bakar, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa bagi maksud seksual di dalam bilik di sebuah sekolah menengah di Halaman Ampang Mewah, Ipoh, dalam daerah Kinta, antara November dan Disember 2024.
Pertuduhan terhadap dua kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh namun peguam, Amira Sofea An-Nur Ahmad Basri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya merupakan pencari nafkah tunggal dalam keluarga.
Menurut Amira Sofea, wanita itu mempunyai enam anak berusia antara lapan hingga 22 tahun yang mana dua daripadanya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi.
“Anak guam saya sudah berkahwin namun suaminya yang mempunyai masalah kesihatan, tidak mempunyai sumber pendapatan tetap. Mohon mahkamah menetapkan jaminan minimum yang tidak membebankannya.
“Selain itu, anak guam saya turut bersedia mematuhi sebarang syarat tambahan yang ditetapkan oleh pihak mahkamah,” katanya.
Hakim Ainul Shahrin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. – UTUSAN











