MCMC tunggu respons Meta isu akaun WhatsApp digodam, disekat

MCMC tunggu respons Meta isu akaun WhatsApp digodam, disekat

Majlis pelancaran BeONE Mobile yang disempurnakan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil bersama Ketua Pegawai Eksekutif BeONE Mobile, Ameen Amaendran (tengah) di The Vertical Bangsar South hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng (empat dari kanan). / M. FIRDAUS M. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menunggu maklum balas Meta berhubung aduan membabitkan akaun WhatsApp yang digodam, diambil alih atau disekat sehingga tidak boleh diakses pengguna.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihak Meta memohon sedikit masa untuk meneliti aspek teknikal berhubung isu berkenaan sebelum memberikan respons kepada MCMC.

“Pihak Meta berjanji untuk memberi maklum balas petang ini pukul 3. Mereka meminta sedikit masa untuk menyelidik aspek-aspek teknikal dalam isu yang dimaksudkan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran BeOne Mobile dan Program Pemerkasaan Komuniti di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Fahmi, pengguna yang mendapati akaun mereka tidak lagi boleh diakses atau telah disekat platform seperti WhatsApp boleh membuat aduan rasmi kepada MCMC untuk tindakan susulan.

Katanya, aduan berkenaan membolehkan MCMC berhubung dengan pihak Meta bagi mendapatkan bantuan untuk mengaktifkan semula akaun yang terjejas.

“Kita terima sebagai contoh kes-kes yang melibatkan pengambilalihan akaun, apabila ada individu lain atau penggodam mengambil alih akaun.

“Jadi, kes-kes seperti ini boleh buat aduan rasmi dengan pihak MCMC supaya berdasarkan aduan itu kita boleh berhubung dan minta bantuan daripada pihak Meta,” katanya.

Beliau berkata, isu sama bukan hanya terhad kepada WhatsApp, malah aduan membabitkan platform lain seperti Telegram dan Instagram juga boleh dipanjangkan kepada MCMC.

“Kita tunggu sama ada pihak Meta memberi respons seperti yang mereka janjikan,” katanya.

Mengulas program berkenaan, Fahmi berkata, BeOne Mobile merupakan pengendali rangkaian mudah alih maya (MVNO) baharu dengan menggunakan rangkaian Maxis.

Katanya, usaha BeOne Mobile mendekati komuniti dan membangunkan kumpulan usahawan sebagai ejen turut membuka peluang kepada rakyat meningkatkan pendapatan.

Fahmi berkata, dengan memanfaatkan rangkaian Maxis, perkhidmatan yang ditawarkan BeOne Mobile dijangka menambah pilihan dalam ekosistem telekomunikasi negara.

Katanya, perkembangan itu turut memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat untuk mendapatkan perkhidmatan telekomunikasi berdasarkan keperluan dan kemampuan masing-masing.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×