Mohd. Na’im kongsi program Malaysia bina ketahanan pemikiran masyarakat Islam di pentas antarabangsa

Mohd. Na’im kongsi program Malaysia bina ketahanan pemikiran masyarakat Islam di pentas antarabangsa

MOHD. Na'im Mokhtar ketika menyampaikan ucapan di Universiti Islam Madinah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ahli Dewan Negara, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkongsi pengalaman, program dan perancangan yang dilaksanakan di Malaysia dalam usaha membina ketahanan pemikiran dan akidah masyarakat Islam di pentas antarabangsa, semalam.

Perkara itu disampaikan Mohd. Na’im dalam ucapannya ketika diundang Universiti Islam Madinah berkenaan isu ketahanan pemikiran dan peranannya dalam menbendung gejala keruntuhan pemikiran sempena usaha Kerajaan Arab Saudi dalam menangani penyelewengan pemikiran.

Mohd. Naim yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, Kerajaan Malaysia memberikan perhatian yang besar kepada pendidikan fardu ain, iaitu ilmu yang wajib diketahui oleh setiap Muslim dan dilaksanakan dalam kehidupan harian, mingguan, bulanan dan tahunan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, ia merangkumi perkara-perkara yang wajib dilaksanakan oleh seseorang Muslim secara individu seperti solat, puasa, zakat dan haji.

“Kami mengajarkan perkara ini kepada kanak-kanak sejak peringkat awal pendidikan dan pembelajaran, dan pendidikan tersebut diteruskan pada semua peringkat persekolahan.

“Malah, bagi mereka yang tidak berpeluang mengikuti pendidikan formal, kami menyediakan ruang untuk mereka mempelajari perkara-perkara tersebut di masjid,” katanya di Universiti Islam Madinah, semalam.

Menurut beliau, Kerajaan Malaysia juga mengajar masyarakat menghafaz ayat-ayat al-Quran yang diperlukan untuk solat, mengajar cara menunaikan solat dengan betul serta mengajarkan asas akidah dengan pendekatan yang mudah difahami.

Katanya, pendidikan ini dilaksanakan di sekolah-sekolah kerajaan, sekolah-sekolah swasta dan juga masjid-masjid.

Jelasnya, perkara ini juga merupakan antara faktor penting dalam membina ketahanan, ketenangan dan kestabilan pemikiran dalam diri seorang Muslim.

“Di Malaysia, memandangkan keadaan masyarakat kita yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan kepercayaan, kami turut memberikan perhatian yang besar kepada pendidikan adab dalam perbezaan dan perselisihan.

“Kami mengajar golongan belia dan anak-anak bagaimana untuk menguruskan perbezaan pandangan dengan cara yang betul, berdasarkan adab Islam, adab berdialog dan menghormati pihak lain.

“Ia berlandaskan kaedah yang masyhur ‘Pandangan saya benar, tetapi masih berkemungkinan salah; dan pandangan orang lain salah, tetapi masih berkemungkinan benar’,” katanya.

Pada masa sama, Malaysia turut memberikan perhatian kepada pengajaran, penyebaran dan pendidikan berkaitan Hadis 40 Imam al-Nawawi.

Katanya, hadis-hadis tersebut merangkumi perkara yang mencukupi bagi seorang Muslim berkaitan asas agama, akhlak, ketakwaan, amal soleh serta hubungan kemanusiaan yang luhur.

“Sesiapa yang ingin memperkukuhkan ketakwaan dan akhlak mulia, maka hendaklah menjadikan hadis-hadis tersebut sebagai panduan, kerana ia mendidik manusia untuk berinteraksi dengan baik bersama orang lain, keluarga, jiran, sahabat serta seluruh anggota masyarakat.

“Kami di Malaysia juga memberikan perhatian terhadap pemantauan media sosial. Kami menyekat laman-laman yang mempromosikan fanatisme, bahan lucah, keruntuhan akhlak atau perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan moral.

“Malaysia turut mendidik anak-anak supaya tidak memberikan perhatian kepada perkara-perkara tersebut dan tidak terpengaruh atau terjebak dengannya,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pihak berkaitan menghasilkan video-video dakwah pendek sebagai salah satu pendekatan untuk menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat.

Mohd. Na’im turut berkongsi bahawa antara nikmat Allah SWT kepada Malaysia ialah masyarakatnya secara fitrah mencintai dan menyayangi al-Quran.

Oleh itu, katanya, ia tidak perlu menanam rasa cinta tersebut dari awal, sebaliknya perlu memperkukuh dan memperkasakannya dalam jiwa masyarakat, agar al-Quran menjadi perlembagaan dan rujukan mereka dalam kehidupan seharian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×