KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) pada dasarnya tidak mempunyai halangan terhadap penubuhan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di sekolah kebangsaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kelas al-Quran dan KAFA boleh ditubuhkan sekiranya mendapat persetujuan pentadbiran sekolah serta mengambil kira tahap kesediaan institusi berkenaan.
Katanya, selama ini pembukaan KAFA di sekolah kebangsaan dilakukan berdasarkan permohonan daripada pihak sekolah sendiri.
“Pembukaan KAFA di sekolah kebangsaan boleh dibuat setelah mengambil kira jumlah guru yang dibekalkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
“Setiap tahun, JAWI memohon pertambahan jawatan guru KAFA daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan jumlahnya mencukupi.
“Bermula 2026, JAWI juga merancang memperbanyakkan lagi KAFA di sekolah kebangsaan melalui kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH–Bandar Tun Razak) mengenai usaha menangani keciciran pelajar Muslim dalam mengikuti kelas KAFA di Wilayah Persekutuan.
Mohd. Na’im berkata, kerajaan akan terus meneliti keperluan pendidikan al-Quran dan Fardu Ain terutama di kawasan berpenduduk padat serta memperluas penawaran KAFA secara berfasa, di samping memastikan pemantauan kualiti pengajaran dilaksanakan secara berterusan.
“Usaha ini selaras dengan matlamat Kerajaan MADANI untuk membangunkan modal insan Muslim yang seimbang dari aspek akademik dan rohani,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan melalui JAWI komited memastikan pelajar Muslim di Wilayah Persekutuan mendapat pendidikan al-Quran dan Fardu Ain yang sempurna.
“Sehingga kini, JAWI telah menubuhkan 204 Institusi Pendidikan Islam (IPI) merangkumi enam Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ), 71 Sekolah Rendah Agama (SRA) dan 127 KAFA.
“Bagi menangani isu keciciran, kerjasama rapat antara JAWI dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan telah membolehkan 44 KAFA ditubuhkan di sekolah kebangsaan sejak 2003 hingga 2025 iaitu 16 di Putrajaya dan 28 di Kuala Lumpur,” katanya.
Menurut Mohd. Na’im, JAWI Cawangan Labuan juga sedang melaksanakan kajian keperluan bagi penubuhan KAFA di sekolah kebangsaan di Wilayah Persekutuan Labuan.
“Penambahan KAFA di sekolah kebangsaan diyakini mampu mengurangkan keciciran kerana pelajar dapat mengikuti kelas KAFA di sekolah sama tanpa perlu berpindah ke premis lain.
“Selain itu, di Wilayah Persekutuan turut beroperasi 83 KAFA di premis seperti masjid, surau dan balai raya,” katanya. – UTUSAN










