Sektor perbankan, pembinaan, infrastruktur jadi tumpuan pelabur

Sektor perbankan, pembinaan, infrastruktur jadi tumpuan pelabur

FBM KLCI dijangka bergerak dalam lingkungan 1,650 hingga 1,700 mata dalam tempoh terdekat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor perbankan, pembinaan dan infrastruktur dijangka menjadi antara tumpuan pelabur di Bursa Malaysia minggu ini, didorong ketahanan ekonomi domestik serta jangkaan menjelang Belanjawan 2027.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ooi Chai Aun berkata, sektor perbankan terus mempunyai daya tarikan berikutan pendedahan kepada ekonomi domestik serta ciri dividen yang menarik ditawarkan kebanyakan bank utama.

“Jangkaan terhadap hala tuju Kadar Dasar Semalaman (OPR) Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan memainkan peranan penting. Namun, hubungan antara kadar faedah dan keuntungan bank bukanlah sesuatu yang mudah. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kadar faedah lebih tinggi boleh menyokong margin keuntungan bank, tetapi jika berterusan, ia juga boleh melemahkan permintaan kredit serta meningkatkan risiko kualiti aset,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi sektor pembinaan dan infrastruktur, beliau berkata, jangkaan terhadap peruntukan pembangunan serta projek pengangkutan, air dan tenaga dalam Belanjawan 2027 pada 9 Oktober berpotensi mencetuskan aktiviti pembelian secara terpilih.

Chai Aun berkata, pihaknya menjangkakan prospek sederhana dan panjang yang positif bagi utiliti, infrastruktur tenaga dan ekosistem pusat data susulan peningkatan pelaburan dalam pusat data, kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital.

“Trend ini berpotensi beralih daripada pembinaan pusat data kepada aspek operasi, bekalan tenaga dan infrastruktur sokongan. Namun, pelabur perlu kekal selektif kerana tidak semua syarikat berkaitan sektor ini mempunyai prospek yang sama.

“Sektor perladangan dan beberapa kaunter minyak dan gas (O&G) turut berpotensi menawarkan peluang dagangan, bergantung kepada pergerakan harga komoditi dan perkembangan geopolitik,” ujarnya.

Mengenai FTSE KLCI Bursa Malaysia (FBM KLCI), beliau menjangkakan indeks bergerak dalam lingkungan 1,650 hingga 1,700 mata dalam tempoh terdekat.

“Dengan jangkaan tiada sebarang berita yang berpotensi merangsang sentimen positif pasaran saham dalam masa terdekat, saya menjangkakan FBM KLCI akan terus mengalami turun naik dan bergerak dalam julat yang agak terhad. 

“Namun begitu, terdapat kemungkinan berlakunya aktiviti pembelian pada harga rendah berikutan kelemahan pasaran baru-baru ini,” jelasnya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sektor teknologi, pembinaan dan bahan binaan antara yang berpotensi mendapat perhatian pelabur minggu ini.

Beliau berkata, minat terhadap saham bermodal kecil dan sederhana dijangka meningkat ketika pelabur asing mengurangkan pegangan dalam saham berkapitalisasi besar susulan pengukuhan dolar AS.

“Bagi sektor teknologi, pemulihan Nasdaq dan penurunan harga minyak boleh meredakan kebimbangan terhadap inflasi, manakala permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI) dan pusat data di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) terus memberi sokongan.

“Pembinaan dan bahan binaan pula dijangka menjadi tumpuan menjelang Belanjawan 2027 pada 9 Oktober,” katanya.

Menurutnya, saham defensif seperti perbankan dan amanah pelaburan hartanah (REIT) turut menarik dalam keadaan pasaran tidak menentu, manakala saham pengguna dan perladangan boleh mendapat manfaat daripada pemulihan harga minyak sawit mentah (MSM).

Beliau menjangkakan FBM KLCI bergerak secara mendatar dengan kecenderungan pemulihan sederhana, dengan sokongan utama pada 1,650 hingga 1,655 mata dan rintangan pada 1,670 hingga 1,675 mata.

“Jika KLCI gagal kekal di atas 1,670 mata, ia berkemungkinan terus berlegar dalam julat 1,655 hingga 1,675 mata,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×