Musim tengkujuh: Rakyat Malaysia melancong di Selatan Thai dinasihat waspada

Musim tengkujuh: Rakyat Malaysia melancong di Selatan Thai dinasihat waspada

HUJAN lebat menyebabkan banjir berlaku di Bangkok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT (THAILAND): Rakyat Malaysia yang merancang melancong ke Selatan Thai, termasuk Hat Yai, dalam tempoh tiga bulan akan datang dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti laporan cuaca bagi mengelak terkandas akibat banjir.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata, cuaca di beberapa wilayah Selatan Thai pada Oktober, November dan Disember lazimnya agak ekstrem, dengan hujan lebat berpotensi menyebabkan banjir besar.

Katanya, rakyat Malaysia yang ingin berkunjung ke Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla dalam tempoh berkenaan perlu mengikuti perkembangan cuaca serta membuat persediaan lebih awal.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Biasanya Oktober hingga Disember ialah musim tengkujuh di Selatan Thai dan Pantai Timur Malaysia. Oleh itu, ikuti laporan cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan. Pejabat Konsul juga akan mengeluarkan laporan cuaca setiap hari.

“Ambil langkah persediaan jika ingin melancong ke Selatan Thai dalam tempoh itu. Ini termasuk memastikan insurans kenderaan merangkumi perlindungan terhadap bencana banjir,” katanya kepada media Malaysia ketika ditemui di Sekolah Agama Islam Sirithamwittaya (Pondok Duku), Kampung Duku, Daerah Bacho, di sini, semalam.

Ahmad Fahmi turut meminta semua pihak mengambil iktibar daripada kejadian banjir besar di Selatan Thai tahun lalu yang menyebabkan kira-kira 7,000 rakyat Malaysia terkandas, termasuk 6,222 orang yang terperangkap di sekitar bandar pelancongan Hat Yai.

Katanya, rakyat Malaysia juga boleh menghubungi Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla untuk mendapatkan maklumat dan nasihat perjalanan sepanjang tempoh tiga bulan berkenaan.

“Kami juga menggalakkan mereka berdaftar dengan pejabat konsul menerusi laman e-Counselor jika memasuki Thailand dalam tempoh itu bagi memudahkan bantuan sekiranya mereka terperangkap dalam apa-apa bencana.

“Saya tidak boleh melarang rakyat Malaysia berkunjung ke Selatan Thai dalam tempoh berkenaan. Itu hak masing-masing. Tetapi perlu diketahui bahawa kebarangkalian berlaku banjir pada Oktober, November dan Disember adalah besar,” ujarnya.

Ahmad Fahmi sekali lagi berharap rakyat Malaysia sentiasa peka terhadap perkembangan terkini laporan cuaca supaya tidak berdepan sebarang masalah ketika berada di Selatan Thai. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×