MUKADIMAH
Konsep masa depan pekerjaan di Malaysia kini memasuki fasa transformasi baharu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mengubah secara radikal cara perniagaan beroperasi dan berkomunikasi.
Adaptasi teknologi ini bukan lagi sekadar eksperimen, sebaliknya menjadi keutamaan berasaskan keperluan organisasi untuk kekal berdaya saing dalam era ekonomi digital.
Bagi mengimbangi kehendak tenaga kerja hibrid dan prestasi perniagaan, syarikat tempatan memerlukan penyelesaian teknologi yang selamat, terhubung, serta mudah dikendalikan.
Wartawan Utusan Malaysia, SABRINA ZULKIFLI menemubual Pengarah Urusan HP Malaysia, ALEX TAN bagi mengupas trend ruang kerja termaju, cabaran pelaksanaan AI serta strategi keselamatan siber dalam mendepani cabaran industri.
UTUSAN: Konsep ‘masa depan pekerjaan’ telah berkembang pesat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Pada pandangan anda, bagaimanakah rupa ruang kerja di Malaysia dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dan apakah trend utama yang perlu dipersiapkan oleh organisasi hari ini?
ALEX: Malaysia kini memasuki fasa baharu transformasi digital yang dipacu oleh AI.
Berdasarkan kajian terkini, sebanyak 93 peratus pekerja di Malaysia sudah mula mengguna pakai AI generatif dalam tugasan harian, dengan 76 peratus daripadanya mengakui ia berjaya meningkatkan produktiviti secara signifikan.
Cabaran utama perniagaan hari ini bukan lagi mengenai tahap penerimaan, sebaliknya bagaimana memastikan AI digunakan secara selamat serta memberi impak perniagaan yang sebenar.
Bila AI semakin terintegrasi dalam urusan kerja harian, organisasi perlu menilai semula ketersediaan tenaga kerja, pembangunan kemahiran dan kecekapan struktur organisasi.
Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, kita bakal menyaksikan penggunaan alatan AI yang lebih mendalam dan menyeluruh di ruang kerja tempatan.
Menerusi portfolio penyelesaian berteraskan AI serta ketersediaan pemprosesan AI di peringkat peranti (edge AI), HP berada pada kedudukan terbaik untuk membantu perniagaan di Malaysia mengguna pakai AI secara selamat.
Bagi HP, masa depan pekerjaan bukanlah sekadar menambah perkakas teknologi baharu di pejabat.
Fokus utama kami adalah untuk memastikan aliran kerja berlaku dengan lebih lancar, di samping menghapuskan kelemahan yang menghalang pekerja memberikan hasil terbaik.
Penerimaan AI semakin pesat di pelbagai sektor, namun kebanyakan organisasi masih di fasa meneroka aplikasi praktikalnya. Bagaimanakah perniagaan tempatan boleh melangkah keluar daripada fasa eksperimen ini untuk memacu hasil perniagaan yang nyata?
Banyak organisasi hari ini sebenarnya tidak berdepan isu adaptasi AI, sebaliknya mereka berdepan dengan cabaran dari sudut pelaksanaan.
Syarikat mahu memahami di mana AI boleh mencipta nilai baharu, bagaimana ia boleh diskalakan secara selamat serta bagaimana pelaburan AI dapat diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur.
Organisasi boleh bermula dengan menilai semula aliran kerja harian mereka untuk mengenalpasti proses yang kerap berdepan kekangan.
Proses berulang seperti penyediaan laporan, maklum balas pelanggan, pengurusan dokumen dan sokongan dalaman merupakan kawasan terbaik untuk integrasi AI.
Penyaluran AI ke dalam kawasan ini membantu menjimatkan masa, meningkatkan kualiti kerja dan membolehkan pekerja memberi tumpuan kepada tugasan bernilai lebih tinggi.
Di sinilah HP memainkan peranan dengan membawa alatan AI terus kepada perkakas yang digunakan pekerja setiap hari melalui sokongan keselamatan peringkat tinggi.
Matlamat kami adalah untuk mengubah projek rintis AI terpencil kepada penggunaan praktikal yang dipercayai, berasaskan skala dan terikat dengan hasil perniagaan.
Ekspektasi pekerja kini lebih ke arah keanjalan dan susunan kerja hibrid. Bagaimanakah organisasi boleh mengimbangi kepuasan tenaga kerja dengan prestasi perniagaan serta kecekapan operasi?
Pelaburan teknologi menjadi pemacu utama dalam mengimbangi kepuasan tenaga kerja dan kecekapan operasi organisasi.
Berdasarkan Indeks Hubungan Kerja HP 2025, sebanyak 69 peratus pekerja berpengetahuan berasa teruja dengan keupayaan teknologi dalam menambah baik kehidupan kerja mereka.
Kajian yang sama menunjukkan bahawa hubungan pekerja dengan kerjaya adalah lima kali lebih tinggi untuk berada di ‘Zon Sihat’ apabila syarikat melabur dalam teknologi yang betul.
Kunci utamanya adalah beralih daripada menguruskan kehadiran fizikal kepada membolehkan pencapaian prestasi.
Isu utama hari ini bukan lagi memperdebatkan antara bekerja di pejabat atau dari jauh, sebaliknya fokus kepada sama ada pekerja dilengkapi kemudahan sesuai untuk bertugas.
Bagi HP, model kerja hibrid bukan sekadar membekalkan peranti kepada pekerja dan mengharapkan kerja selesaikan secara automatik.
Ia adalah berkenaan mewujudkan ekosistem ruang kerja terhubung merangkumi peranti, mesyuarat, dokumen, alatan kolaborasi dan perkhidmatan sokongan.
Apabila ekosistem ini berfungsi dengan baik, pekerja dapat fokus kepada hasil kerja manakala syarikat mengekalkan produktiviti dan kawalan keselamatan.
Trend bekerja secara hibrid menggunakan pelbagai peranti menjadikan keselamatan siber isu yang semakin kritikal. Apakah cabaran keselamatan terbesar hari ini dan bagaimana cara menanganinya secara berkesan?
Keselamatan siber tidak boleh lagi dianggap sebagai isu teknikal teknologi maklumat (IT) semata-mata, sebaliknya ia merupakan isu kelangsungan perniagaan dan kepercayaan pelanggan.
Peranti titik akhir yang lemah boleh menjejas keseluruhan produktiviti, operasi dan keyakinan pasaran terhadap sesebuah organisasi.
Pandangan HP adalah jelas bahawa aspek keselamatan mesti dibina dari peringkat asas peranti lagi.
Menerusi peranti berteraskan keselamatan reka bentuk, perlindungan perkakasan, alatan pengurusan serta HP Wolf Security, kami membantu organisasi melindungi data tanpa memperlahankan kerja.
Asas perlindungan yang dipercayai ini menjadi lebih penting apabila alatan AI semakin rapat dengan urusan harian pekerja.
Apabila pekerja menggunakan alatan AI secara meluas, organisasi juga mesti berwaspada terhadap risiko kebocoran data dan penggunaan AI tidak bertauliah.
Keselamatan hari ini bukan sahaja meliputi perlindungan fizikal peranti, tetapi juga mengawal bagaimana maklumat mengalir rentas platform dan sistem AI.
Bagaimanakah HP membantu organisasi di Malaysia membina ruang kerja yang lebih pintar dan berdaya tahan?
Apabila syarikat di Malaysia mahu mengoperasikan AI, mereka mencari penyelesaian yang meningkatkan produktiviti tanpa menambah kekompleksan sistem.
Di sinilah HP memberi perbezaan ketara dengan membantu organisasi menyelesaikan tiga cabaran utama: meningkatkan produktiviti pekerja, memperkukuh keselamatan dan mempermudah pengurusan IT.
Teknologi sepatutnya mengurangkan kerumitan operasi dan bukannya menambah lebih banyak masalah teknikal.
Keupayaan HP menggabungkan peranti titik akhir AI, kolaborasi selamat, perkhidmatan percetakan dan wawasan tenaga kerja menjadi keunikan utama kami di pasaran.
Pendekatan terhubung ini membantu pelanggan mengguna pakai AI dalam bentuk yang praktikal untuk pekerja dan mudah diuruskan oleh bahagian IT.
Perkara ini amat penting kerana keputusan mengguna pakai AI memberi kesan terus kepada aliran data, sokongan IT dan keupayaan skala perniagaan.
Fokus HP adalah untuk membantu pelanggan memodenkan operasi tanpa kerumitan yang tidak perlu supaya AI menjadi sebahagian daripada aliran kerja sebenar.
Melihat ke hadapan, apakah nasihat anda kepada pemimpin perniagaan di Malaysia yang mahu kekal berdaya saing dalam ekonomi berasaskan AI?
Nasihat saya mudah, mulakan dengan keutamaan sumber manusia dan hasil perniagaan, bukannya bermula dengan teknologi semata-mata.
Strategi AI yang paling berjaya bermula dengan memahami di mana pekerja kerap membazir masa atau berdepan masalah untuk berkolaborasi.
Penyelesaian AI sepatutnya digunakan untuk menyelesaikan masalah praktikal pekerja di peringkat asas ini terlebih dahulu.
Ini juga merupakan kaedah HP bekerjasama dengan para pelanggan kami dalam merealisasikan transformasi digital mereka.
Kami membantu organisasi bergerak daripada aspirasi AI kepada fasa penyebaran praktikal melalui peranti, keselamatan dan perkhidmatan yang tepat.
Peluang ekonomi untuk Malaysia adalah sangat besar, namun perniagaan perlu mengguna pakai AI secara selamat dan direka khas untuk aliran kerja sebenar.
Syarikat yang bakal mencapai kejayaan pada masa hadapan bukanlah syarikat yang mempunyai pemilikan teknologi AI paling banyak, sebaliknya syarikat yang menggunakannya secara paling berkesan. – UTUSAN











