PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan supaya sebarang kandungan atau pendekatan yang boleh menimbulkan kekeliruan terhadap akidah diperbetulkan dan dimurnikan susulan isu yang dikaitkan dengan New Age Movement (NAM).
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, pengisian berkaitan agama juga perlu berasaskan disiplin ilmu Islam dan pandangan pihak berautoriti.
Katanya, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui JAKIM kekal tegas menolak sebarang ajaran, fahaman, amalan atau pendekatan yang bertentangan dengan syarak dan prinsip akidah Islam.
“Jakim mengambil perhatian pertanyaan dan persoalan yang dibangkitkan oleh masyarakat termasuk melalui halaman Facebook atas nama Masyitah Ashari berhubung isu yang dikaitkan dengan NAM yang turut dikaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
“Perkara tersebut sememangnya telah diberi perhatian serius dan melalui proses siasatan menyeluruh bagi mendapatkan pandangan serta penelitian berdasarkan disiplin ilmu dengan penglibatan autoriti yang bersesuaian.
“Sesi pertemuan dan ‘tabayyun’ juga telah diadakan bersama Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bagi mendapatkan penjelasan secara langsung berhubung perkara yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sirajuddin berkata, sesi itu turut melibatkan Mufti Wilayah Persekutuan, Panel Pakar Akidah (PPA) Jakim serta pihak berkaitan bagi meneliti perkara berkenaan dari sudut akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
Katanya, beberapa teguran, nasihat dan panduan diberikan hasil pertemuan tersebut termasuk mengenai kandungan dan pengisian program yang telah dijalankan serta pendekatan yang digunakan dan mempunyai implikasi terhadap agama dan akidah.
“Dalam masa yang sama, Jakim menyeru masyarakat agar tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang beredar tanpa pengesahan atau di luar konteks.
“Jakim akan terus melaksanakan amanah memelihara kesucian akidah umat Islam secara tegas, berhemah dan berasaskan ilmu serta autoriti agama,” katanya. –UTUSAN











