MUKADIMAH
SAMBUTAN Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor pastinya menjadi detik bersejarah bagi rakyat pada dekad ini dan pastinya menjadi julung kali disaksikan masyarakat terutama generasi muda bagi melihat dinamika dan sinergi peranan DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kerajaan negeri mentadbir dan membangun negeri ini dalam 25 tahun lalu.
Bersama Koresponden Utusan Malaysia di Selangor, MOHAMAD ATHIR ISMAIL, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, DATUK DR. AHMAD FADZLI AHMAD TAJUDDIN berkongsikan pengalaman 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin bersama rakyat.
UTUSAN: Apa yang dapat dilihat di negeri ini selepas 25 tahun Sultan Sharafuddin Idris Shah menerajui Selangor?
AHMAD FADZLI: Sultan Selangor menjadi kompas utama kepada pentadbiran negeri agar setiap pembangunan bukan hanya mengejar nilai ekonomi, tetapi benar-benar memberi nilai tambah dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Dalam siri titah baginda, aspek integriti, kecekapan perkhidmatan awam, pemeliharaan alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum sentiasa diberi penekanan khusus.
Pada masa yang sama, perkhidmatan awam negeri juga perlu sentiasa dinamik dan menyesuaikan diri. Kita tidak boleh lagi menggunakan pendekatan 10 atau 20 tahun lalu untuk menyelesaikan cabaran hari ini.
Sambutan Jubli Perak ini dilaksanakan secara sederhana atas titah tuanku?
Kerajaan negeri pada awalnya menyediakan peruntukan khusus bagi meraikan detik bersejarah 25 tahun pemerintahan ini, tuanku dengan penuh empati menitahkan agar sambutan dilaksanakan secara sederhana, berhemah dan tidak membazir.
Lebih menyentuh hati, baginda menitahkan supaya lebihan atau penjimatan daripada pengurangan skala sambutan tersebut disalurkan semula untuk membantu rakyat yang memerlukan dan bukannya digunakan untuk tujuan lain.
Oleh itu, pengisian sambutan kali ini dirangka berteraskan elemen kemasyarakatan, kebajikan, pendidikan, sukan, keagamaan dan warisan. Itulah semangat kesederhanaan yang kita hayati daripada titah tuanku.
Bagaimana ia boleh dikembalikan sebagai manfaat kepada rakyat?
Titah Sultan Selangor amat jelas setiap ringgit yang dijimatkan hendaklah disalurkan semula bagi membantu rakyat. Bagi pentadbiran negeri, ketetapan ini menjadi panduan untuk kita menyusun semula keutamaan perbelanjaan supaya terus tertumpu kepada jaringan keselamatan sosial rakyat.
Kerajaan negeri menyifatkan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai sambutan untuk rakyat. Tetapi bagaimana kerajaan memastikan penyertaan rakyat itu benar-benar inklusif?
Kita merangka pengisian tidak hanya tertumpu di istana atau di pusat bandar Shah Alam, sebaliknya turun menyantuni pelbagai lapisan masyarakat merentasi kesemua sembilan daerah di Selangor.
Hampir keseluruhan 19 program rasmi yang disusun melibatkan penyertaan langsung rakyat daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan B40, komuniti luar bandar, anak yatim dan generasi belia.
Sebagai contoh, bagi memastikan rakyat di peringkat daerah turut merasai kemeriahan sambutan tanpa terhalang oleh kekangan protokol acara rasmi, kita menganjurkan Majlis Jamuan Teh Diraja yang melibatkan wakil masyarakat dari setiap daerah di Negeri Selangor.
Bagi golongan muda dan komuniti sukan akar umbi pula, kita mengadakan Larian Kita Selangor serta Kejohanan Liga Bola Sepak Bawah 15 Tahun.
Selain itu, aspek kebajikan dan kerohanian turut menjadi tumpuan utama. Pendek kata, setiap program dipilih dan direka bentuk agar tiada kelompok masyarakat yang tercicir daripada merasai makna di sebalik 25 tahun pemerintahan tuanku.
Sepanjang 25 tahun ini, apakah legasi Sultan Sharafuddin kepada Selangor?
Saya melihatnya menerusi tiga dimensi utama iaitu tadbir urus dan integriti, pembangunan yang seimbang, serta hubungan akrab antara institusi raja dengan rakyat.
Pertama, legasi dari sudut tadbir urus dan integriti. Sultan Selangor sentiasa menekankan bahawa kuasa dan jawatan adalah satu amanah yang akan dipersoalkan.
Tuanku tidak pernah jemu mengingatkan jentera pentadbiran supaya bekerja dengan penuh integriti, menolak amalan rasuah serta salah guna kuasa, dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan tertinggi.
Kedua, legasi pembangunan yang seimbang dan lestari. Walaupun Selangor berkembang pesat menjadi kuasa ekonomi utama negara dan destinasi pelaburan pilihan, tuanku sentiasa menjadi suara yang mengingatkan kita supaya kemajuan fizikal tidak sesekali mengorbankan alam sekitar, hutan simpan dan kualiti hidup masyarakat.
Ketiga, legasi hubungan erat antara raja dan rakyat. Berbekalkan pengalaman luas dalam pentadbiran sebelum menaiki takhta, baginda konsisten turun padang ke daerah-daerah untuk melihat sendiri realiti kehidupan masyarakat.
ANJAKAN DI SELANGOR
Apakah perkara yang Selangor mesti ubah sekiranya mahu kekal sebagai enjin ekonomi negara?
Satu perkara utama yang mesti kita ubah ialah orientasi pertumbuhan ekonomi negeri, iaitu pertumbuhan berteraskan nilai tambah yang tinggi.
Dalam tempoh lima hingga 10 tahun lagi, Selangor perlu memberi tumpuan penuh kepada pelaburan berkualiti tinggi, penguasaan teknologi hadapan, pendigitalan serta pembangunan bakat tempatan.
Namun, peralihan ekonomi ini mesti disokong oleh ekosistem bandar yang mampan. Jika angka ekonomi meningkat tetapi rakyat terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di dalam kesesakan trafik, berdepan kos hidup yang menghimpit serta tekanan infrastruktur yang meruncing, itu bukanlah model kemajuan yang kita hasratkan.
Sejauh mana kejayaan ekonomi negeri ini benar-benar dirasai rakyat biasa?
Saya mengakui hakikat bahawa walaupun makroekonomi dan kutipan hasil Selangor berada pada tahap yang sangat kukuh, sebahagian rakyat masih merasai bahang tekanan kos sara hidup.
Bagi saya, kayu ukur sebenar kejayaan ekonomi sesebuah negeri bukanlah terletak pada angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi apabila rakyat biasa dapat menikmati peluang pekerjaan yang bermaruah, peningkatan gaji yang setimpal, akses kepada perumahan mampu milik serta kemudahan awam yang efisien.
Oleh sebab itu, pentadbiran negeri tidak pernah bersikap selesa atau berpuas hati hanya kerana Selangor mencatatkan nilai pelaburan tertinggi. Tanggungjawab dan cabaran terbesar kami adalah memastikan limpahan kekayaan negeri itu diagihkan secara adil supaya nikmat kemajuan ekonomi benar-benar dapat dirasai di meja makan setiap keluarga di Selangor.
Bagaimana dengan prestasi penjawat awam negeri?
Saya mahu melihat seluruh anggota perkhidmatan awam Selangor melakukan anjakan budaya kerja ke arah yang lebih responsif, tangkas dan berintegriti tinggi, selaras dengan kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) yang sedang kita gerakkan.
RSTU bukan sekadar soal mengadaptasi teknologi baharu atau pendigitalan sistem, tetapi merupakan usaha merombak cara kita berfikir. Kita mahu menghapuskan mentaliti bekerja secara silo dan kerenah birokrasi yang melambatkan penyampaian perkhidmatan.
Kepantasan bekerja mesti sentiasa dipagari dengan integriti dan akauntabiliti yang mutlak. Setiap penjawat awam di Selangor perlu sedar bahawa di sebalik setiap fail dan keputusan yang kita uruskan, terdapat nasib serta kehidupan rakyat yang bergantung kepadanya.
Apa cabaran yang akan dihadapi Selangor di masa akan datang?
Saya menjangkakan cabaran paling besar bagi tempoh 25 tahun akan datang ialah mengekalkan keseimbangan dan daya tahan negeri iaitu bagaimana Selangor dapat terus bersaing sebagai metropolis ekonomi utama di rantau ini tanpa mengorbankan kelestarian alam sekitar, keharmonian sosial dan kesejahteraan hidup rakyatnya.
Selangor bakal berdepan dengan cabaran masa hadapan yang jauh lebih kompleks, merangkumi kesan perubahan iklim yang ekstrem, peralihan demografi ke arah masyarakat menua, kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI), tekanan urbanisasi ke atas infrastruktur asas serta tuntutan kos sara hidup.
Kita perlu terus mencipta peluang ekonomi baharu yang berkualiti untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Dalam mengharungi gelombang perubahan ini, panduan dan kebijaksanaan tuanku sebagai payung negeri akan terus menjadi paksi penting bagi memastikan Selangor kekal stabil, bersatu padu dan tidak tersasar daripada matlamat membangunkan negeri secara bertanggungjawab.
Adakah Sultan Selangor turut prihatin dengan soal pembangunan yang memberi kesan kepada alam sekitar?
Tuanku amat prihatin dan tegas dalam keseimbangan itu termasuk dalam soal memelihara kawasan hutan simpan dan kawasan tadahan air. Saya melihat inilah nilai teras yang sentiasa ditekankan oleh baginda, bahawa kemajuan ekonomi mesti bergerak seiring dengan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
SULTAN SELANGOR BERSAMA RAKYAT
Dalam tempoh 25 tahun, apakah isu yang memberi kesan kepada kerajaan negeri dan Sultan Selangor?
Tempoh paling getir ketika berdepan pandemik Covid-19. Tuanku amat mengambil berat nasib rakyat dan menitahkan supaya bantuan kerajaan disalur kepada golongan terjejas tanpa kerenah birokrasi.
Pentadbiran negeri turut diuji melalui krisis gangguan bekalan air dan bencana banjir besar, khususnya pada Disember 2021.
Dalam tempoh itu, isu banjir juga sering dizahirkan baginda sehingga pelbagai cadangan baginda lontarkan kepada kerajaan negeri.
Tragedi banjir besar pula menjadi titik perubahan penting yang membuka mata semua pihak bahawa cabaran pembangunan dan perubahan iklim di Selangor semakin kompleks serta menuntut penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh.
Malah, dalam titah baginda pada 2026, isu tebatan banjir dan jaminan bekalan air bersih sekali lagi ditekankan, membuktikan ketekalan baginda dalam memperjuangkan isu asas yang menyentuh kehidupan harian rakyat.
Adakah model pembangunan Selangor sebelum ini masih sesuai untuk 25 tahun akan datang?
Dalam tempoh 25 tahun pertama pemerintahan tuanku, Selangor melalui fasa transformasi fizikal dan perindustrian yang luar biasa. Namun, apabila sesebuah negeri mencapai tahap kemajuan dan kepadatan penduduk yang tinggi, bentuk cabarannya turut berubah.
Hari ini kita berdepan dengan realiti perubahan termasuk iklim. Justeru, model pembangunan Selangor bagi tempoh 25 tahun akan datang tidak boleh lagi sekadar berkisar tentang ‘membina lebih banyak’, tetapi tentang ‘membina dengan lebih bijaksana dan mampan’.
Sebab itu, menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2), fokus kita bukan lagi terhad kepada sasaran pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya mengangkat agenda negeri berdaya huni, pembangunan seimbang dan daya tahan iklim sebagai misi utama. Itulah anjakan paradigma kita untuk 25 tahun seterusnya.
MENDEKATKAN GENERASI MUDA
Baginda sering dilihat sebagai seorang raja yang dekat dengan rakyat. Apakah yang membezakan pendekatan baginda berbanding gambaran masyarakat terhadap baginda?
Baginda tidak melihat peranan seorang raja hanya terhad dalam lingkungan adat dan istiadat, tetapi sebagai satu amanah besar untuk memahami denyut nadi rakyat. Baginda mempunyai pengamatan yang sangat luas dan tajam terhadap isu-isu semasa.
Dari perspektif pentadbiran, nasihat dan teguran baginda menjadi mekanisme semak dan imbang yang memastikan kita tidak hanya melihat sesuatu dasar daripada sudut statistik di atas kertas, tetapi menilai kesannya secara langsung kepada kehidupan rakyat.
Keperibadian baginda yang bersahaja dan dekat dengan masyarakat turut menghantar mesej jelas kepada seluruh jentera pentadbiran bahawa kita tidak boleh bekerja secara terpisah daripada realiti.
Bagaimana Sultan Sharafuddin mendekatkan diri dengan generasi baharu?
Kita perlu menerima realiti bahawa generasi muda hari ini berinteraksi dan mendapatkan maklumat melalui ekosistem yang berbeza. Justeru, pendekatan kita dalam mendekatkan institusi raja dengan golongan belia juga perlu bersifat sezaman dan kreatif.
Menggunakan medium digital bukan bermaksud kita mengubah nilai, adab atau kemuliaan tradisi Kesultanan Selangor.
Sebaliknya, kita menyesuaikan kaedah penceritaan supaya generasi baharu dapat mengenali keperibadian, ketegasan dan keprihatinan tuanku dalam bahasa serta visual yang dekat dengan jiwa mereka.
Kita mahu anak-anak muda melihat bahawa institusi raja bukanlah satu entiti sejarah yang jauh daripada kehidupan mereka, tetapi merupakan tonggak kestabilan negeri yang sentiasa peka terhadap isu masa depan mereka, termasuk soal peluang pekerjaan, pendidikan, sukan, perpaduan dan kelestarian alam sekitar.
Sambutan Jubli Perak menjadi titik temu yang sangat baik untuk kita mengetengahkan perjalanan 25 tahun pemerintahan Sultan Selangor menerusi pelbagai medium interaktif dan program belia, agar generasi pelapis ini bukan sahaja mengenali siapa sultan mereka, tetapi turut menghayati falsafah serta legasi pemerintahan tuanku.
Apakah falsafah dan legasi tuanku yang perlu dihayati generasi Selangor akan datang?
Sultan Selangor ialah seorang raja berjiwa rakyat yang sentiasa meletakkan kepentingan negeri di hati, memimpin dengan penuh kebijaksanaan serta ketegasan dan mewariskan sebuah legasi Selangor yang makmur lagi berintegriti untuk terus dipelihara oleh generasi akan datang. – UTUSAN










