AMK umum tiga pelantikan baharu, perkemas jentera hadapi PRN Melaka - Utusan Malaysia

AMK umum tiga pelantikan baharu, perkemas jentera hadapi PRN Melaka

Mohd Shafiq Iqram Abdullah, Wan Nur Aishah Ahmad Fazli dan Mohamad Iqbal Farok
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan tiga pelantikan baharu dalam usaha memperkukuh organisasi serta memperkemas gerak kerja jentera menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, AMK turut memperkemas jentera di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) tumpuan selain mengemukakan beberapa nama calon muda yang berwibawa dan mempunyai rekod khidmat untuk pertimbangan kepimpinan pusat PKR.

“Sebarang keputusan berhubung kerjasama politik dalam PRN Melaka mesti berteraskan kepentingan rakyat serta agenda pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerjasama ini mesti membawa pulangan besar kepada peningkatan taraf kehidupan rakyat negeri Melaka,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat AMK, semalam.

Beliau berkata, rakyat sudah letih dengan percaturan kuasa serta amalan membahagi kedudukan dan jawatan, justeru sebarang kerjasama politik tidak seharusnya sekadar memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

“Kerjasama politik tidak boleh menjadi sekadar ‘marriage of convenience’ untuk memenuhi selera politik pihak tertentu. Manfaat kepada rakyat Melaka mesti dan sentiasa memagari sebarang bentuk rundingan mahupun kerjasama politik,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat AMK menetapkan tiga pelantikan baharu membabitkan Mohd Shafiq Iqram Abdullah sebagai Pengarah Strategi AMK; Wan Nur Aishah Ahmad Fazli sebagai Ketua AMK Wilayah Persekutuan; dan Mohamad Iqbal Farok sebagai Timbalan Ketua AMK Wilayah Persekutuan.

AMK turut mengucapkan selamat menjalankan amanah kepada ketiga-tiga pimpinan berkenaan bagi memperkukuh organisasi dan khidmat kepada rakyat.

Muhammad Kamil berkata, AMK turut menegaskan bahawa institusi Raja-Raja Melayu wajib dihormati, undang-undang mesti dipatuhi dan amanah rakyat tidak boleh dikhianati.

Katanya, sebarang salah laku membabitkan institusi besar negara seperti Tabung Haji, Felda dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) perlu dihentikan, dirungkai serta diperbetulkan supaya institusi berkenaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan pihak tertentu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×