SEGAMAT: Kesemua 408 pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang menamatkan Latihan Kursus Asas Pegawai AKPS Siri 1/2026 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat, di sini akan ditempatkan di Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Chagar, Johor Bahru.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kumpulan fasa pertama ini akan menjadi wajah barisan hadapan yang berurusan dengan rakyat Malaysia, pelancong, pekerja dan pelabur dari seluruh dunia khususnya apabila Rapid Transit System Link (RTS Link) mula beroperasi, tahun depan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar pegawai dan anggota terlibat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh amanah dan berdedikasi.
“Hari ini kita melihat penubuhan AKPS bukan sekadar pembaharuan pada struktur pengurusan sempadan negara. Kita mahu memastikan kawalan sempadan negara bergerak kepada satu pendekatan bersepadu di bawah satu kawalan berpusat dengan semangat agensi tunggal atau Single Border Agency (SBA).
“Perubahan ini dilaksana terutamanya melibatkan soal tata kelola, keberkesanan penyampaian dan paling penting keselamatan dan kedaulatan negara. AKPS adalah merupakan bukti nyata kepada agenda reformasi perkhidmatan awam,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut, hari ini.
Tambah Shamsul Azri, AKPS ketika ini beroperasi dengan kekuatan kira-kira 30 peratus daripada keperluan sebenar agensi berkenaan iaitu sebanyak 13,721 anggota bagi memastikan ia dapat beroperasi secara optimum.
“AKPS sebagai barisan hadapan bukan sekadar instrumen memastikan kedaulatan negara terus dihormati, AKPS juga adalah benteng kepada fiskal negara.
“Setiap ringgit yang diselamatkan ialah hak rakyat yang wajib dipertahankan. Setiap ketirisan perlu dibendung dan setiap sindiket yang dipatahkan ialah satu ancaman terhadap keselamatan dan ekonomi negara yang berjaya kita tangani,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memuji AKPS yang menunjukkan tahap inklusif tinggi apabila majoriti daripada pegawai dan anggota baharu terdiri daripada rakyat Sabah dan Sarawak.
“Anak-anak ini datang dari Sabah yang paling ramai, diikuti oleh Sarawak dan Semenanjung. Inilah wajah Malaysia yang sebenar. Apa yang kita maksudkan dengan pembinaan identiti institusi inklusif, merangkul semua, menyatukan kepelbagaian dan membina satu jati diri bersama.
“Pada masa sama, saya nasihatkan pegawai-pegawai ini kuasai ilmu teknologi, amanah, menjaga maruah perkhidmatan dan sentiasa menunjukkan sikap ihsan ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab diberi,” katanya.-UTUSAN









