PADA era globalisasi ini, guru-guru sering dibebani dengan pelbagai tugasan yang sepatutnya berada di luar skop tugas hakiki mereka.
Antaranya termasuklah perkara remeh seperti mencari botol air, bekas makanan yang hilang, mahupun memeriksa kasut murid yang tertukar.
Perkara sebegini secara hakikatnya bukanlah tanggungjawab pendidik, memandangkan fokus utama mereka telah pun dipenuhi dengan pelbagai cabaran pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.
Namun begitu, sebahagian ibu bapa seolah-olah menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pengurusan diri anak-anak kepada guru, sedangkan perkara tersebut sepatutnya diuruskan di rumah.
Fenomena ini menjadi lebih parah apabila sesetengah ibu bapa menganggap diri mereka sebagai ‘pelanggan’ dan guru sebagai ‘penyedia perkhidmatan’.
Mentaliti ini mendorong mereka beranggapan bahawa sebarang tindakan mengadu melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) terhadap guru yang tidak mengikut kehendak mereka adalah wajar.
Di media sosial, luahan guru-guru kerap kelihatan berkenaan soalan-soalan yang kurang munasabah daripada ibu bapa pada lewat malam, seperti soalan berkaitan pakaian anak untuk esok hari.
Malah, sekiranya jawapan lambat dibalas, ada ibu bapa yang tergamak mengugut untuk melaporkan guru berkenaan ke saluran SISPAA.
Perkara ini tidak sepatutnya berlaku memandangkan maklum balas telah pun disampaikan kepada murid semasa waktu sekolah. Adakah wajar guru dipersalahkan atas sikap murid yang kurang cakna terhadap arahan yang diberikan?
Justeru, adakah adil untuk seorang guru dikenakan tindakan atau siasatan SISPAA sedangkan punca masalah bukannya datang daripada pihak sekolah?
Isu ini perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib dengan memperketat penapis sistem SISPAA bagi mengelakkan laporan yang berasas lemah atau tidak benar diterima secara sewenang-wenangnya.
Pihak kementerian dan jabatan wajar memberi sokongan moral serta perlindungan kepada para guru, bukannya terus menjatuhkan hukuman atau memberi tekanan tanpa siasatan yang teliti dan mendalam.
Pada masa yang sama, ibu bapa perlu lebih peka dengan peranan masing-masing dan tidak menjadikan guru sebagai saluran untuk melepaskan tanggungjawab keibubapaan.
Impak negatif daripada penyalahgunaan sistem ini bukan sahaja meningkatkan kadar tekanan emosi (stres) dalam kalangan pendidik, malah ada di antara mereka yang mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan atau bersara awal.
Selain itu, keadaan ini turut menyumbang kepada peningkatan masalah disiplin murid. Apabila murid mengetahui ibu bapa mereka berupaya melaporkan guru dengan mudah, rasa hormat dan takut kepada guru kian terhakis.
Situasi ini menjadikan mereka lebih berani melanggar peraturan sekolah kerana beranggapan guru tidak lagi mempunyai autoriti untuk menegur mereka.
SISPAA merupakan satu platform yang cemerlang dan telus bagi menambah baik sistem perkhidmatan awam.
Walau bagaimanapun, kebaikan medium ini akan terjejas sekiranya terdapat segelintir ibu bapa yang tidak menyedari skop tanggungjawab sendiri lalu sewenang-wenangnya membuat laporan yang melulu.
Persefahaman, perbincangan harmoni dan rasa saling menghormati antara ibu bapa dan guru adalah kunci utama dalam membina ekosistem pendidikan yang sihat demi masa depan anak-anak. – UTUSAN
SHAHRUL AL MUHAFFIZ BACHO
Mahasiswa Program Ijazah Sarjana Muda Sejarah
Gunaan dengan Kepujian,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











