Pembangunan infrastruktur Sabah kekal keutamaan Kerajaan Madani

Pembangunan infrastruktur Sabah kekal keutamaan Kerajaan Madani

AHMAD Farid Sainuri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan infrastruktur pengangkutan Sabah kekal menjadi keutamaan Kerajaan Madani, sekali gus menolak dakwaan bahawa negeri itu diketepikan berbanding peruntukan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PKR Sabah, Ahmad Farid Sainuri berkata, perbandingan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pas Sabah mengenai peruntukan lebih RM21 bilion untuk projek infrastruktur pengangkutan Pulau Pinang adalah tidak adil jika hanya dibandingkan dengan satu komponen peruntukan penyelenggaraan jalan tahunan Sabah.

“Kita tidak menafikan keadaan jalan raya di Sabah masih memerlukan perhatian serius. Sebagai anak Sabah, kita mahukan Pan Borneo disiapkan lebih cepat dan jurang pembangunan antara Sabah dengan Semenanjung terus dikecilkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut beliau, angka RM21 bilion bagi Pulau Pinang bukanlah peruntukan tahunan sebaliknya merangkumi projek berskala besar yang dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun termasuk projek LRT Pulau Pinang bernilai RM16.8 bilion, di samping projek pembesaran lapangan terbang, pelabuhan dan terminal pelayaran.

Jelasnya, jika mahu dibuat perbandingan yang saksama, keseluruhan nilai projek mega yang sedang dilaksanakan di Sabah turut perlu diambil kira.

Dalam pada itu, Ahmad Farid turut menyenaraikan peruntukan Belanjawan 2026 bagi projek mega di Sabah, antaranya Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan 1B bernilai RM15.9 bilion, Sarawak-Sabah Link Road Fasa 1 dan 2 (RM8.81 bilion) serta Lebuhraya Trans Borneo (RM2.99 bilion).

“Dalam sektor penerbangan pula, hampir RM500 juta diluluskan untuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“RM120.9 juta pula diperuntukkan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau menjadikan jumlah keseluruhan hampir RM620 juta bagi kedua-dua lapangan terbang itu sahaja belum termasuk perancangan menaik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu,” katanya.

Tambah beliau, pembangunan LRT Pulau Pinang tidak bermakna Sabah ditinggalkan dari aspek pembangunan infrastruktur pengangkutan, memandangkan Pulau Pinang mempunyai masalah pengangkutan bandar, kepadatan dan kesesakan yang memerlukan sistem transit massa, manakala Sabah merupakan wilayah yang jauh lebih luas dengan cabaran geografi berbeza.

“Keadilan pembangunan bukan bermaksud Pulau Pinang tidak boleh mendapat LRT selagi setiap jalan di Sabah belum selesai. 

“Keadilan pembangunan bermaksud Kerajaan Persekutuan perlu membangunkan kedua-duanya berdasarkan keperluan masing-masing sambil memberikan perhatian lebih besar untuk merapatkan jurang pembangunan Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemajuan projek Pan Borneo Sabah, beliau berkata, kemajuan fizikal setakat ini telah mencapai sekitar 88 peratus bagi Fasa 1A dan melebihi 20 peratus bagi Fasa 1B dan kerajaan mesti memastikan projek itu dipercepatkan tanpa kelewatan yang tidak munasabah.

“Sabah masih mendapat perhatian dan keutamaan Kerajaan Madani dan tugas kini adalah memastikan setiap peruntukan serta projek dilaksanakan dengan lebih pantas agar manfaatnya sampai kepada rakyat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×