Bangkok masih dilanda banjir - Utusan Malaysia

Bangkok masih dilanda banjir

HUJAN lebat menyebabkan banjir berlaku di Bangkok. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, banjir teruk terus melanda daerah-daerah di timur Bangkok pada Ahad, dengan kebanyakan terusan utama masih dipenuhi air.Dalam hantaran secara langsung di Facebook pada pagi Ahad, beliau berkata, air memenuhi Terusan Lat Phrao, Terusan Prawet Burirom, Terusan Prem Prachakorn dan Terusan Saen Saep, yang berdepan masalah pam air.Daerah Lat Krabang dilanda banjir teruk dengan lebih 30,000 mangsa. 

Kawasan lain yang turut mengalami banjir serius termasuk Ramkhamhaeng dan Bang Kapi, dengan hujan kira-kira 10 milimeter direkodkan pada pagi Ahad, katanya.“Banjir serius terus berlaku di daerah-daerah timur ibu negara dan pegawai berusaha mempercepatkan proses penyaliran air,” kata gabenor Bangkok ketika menaiki motosikal teksi menuju ke Dewan Bandaraya di daerah Din Daeng.

Semalam, Pihak berkuasa Bangkok mengisytiharkan bencana banjir di seluruh ibu negara Thailand selepas penduduk terpaksa meredah air selepas rumah, kedai dan jalan raya dinaiki air.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perdana Menteri, Anutin Charnvirakul memendekkan lawatan ke London untuk pulang ke tanah air selepas lebih 300 milimeter hujan turun di sesetengah kawasan antara petang Khamis hingga pagi Sabtu, menurut pegawai.

“Air terus masuk. Sekarang sukar untuk keluar. Parasnya sudah sampai ke pinggang saya,” kata Somkid Pheuk-ngam, 67, seorang peniaga yang tinggal berhampiran terusan di utara pusat Bangkok.

“Saya tidak boleh pergi ke mana-mana. Saya sudah menutup kedai selama dua hari,” katanya kepada AFP.

Bangkok bukan asing dengan cuaca hujan dan September merupakan kemuncak musim hujan,  tetapi beberapa penduduk berkata, keadaan kali ini lebih buruk daripada biasa.

“Saya rasa sepanjang bertahun-tahun tinggal di sini, saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini, apabila hujan turun berterusan selama berhari-hari,” kata seorang penduduk berusia 63 tahun, Anutin Meechamnan.

Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) mengisytiharkan bencana di kesemua 50 daerah di bandar itu, sekali gus memberikan kuasa khas kepada organisasi tempatan untuk mengambil tindakan.

Hujan yang turun hampir berterusan sejak petang Khamis menyebabkan rangkaian terusan Bangkok melimpah, mengakibatkan air keruh memasuki rumah, restoran, kedai dan lorong-lorong berhampiran.

“Masalah kita ialah terusan sudah penuh,” kata Chadchart.

“Kami bekerjasama dengan wilayah berdekatan dan cuba mengalirkan air keluar melalui kawasan lain bagi mengurangkan jumlah air yang mengalir masuk ke Bangkok,” tambahnya. 

Beliau berkata, kira-kira 980 orang ditempatkan di pusat perlindungan sementara, manakala pihak berkuasa memindahkan 36 pesakit terlantar ke hospital. Bandar itu turut menyediakan satu juta beg pasir.

Walaupun terdapat harapan air akan surut, pihak berkuasa Bangkok berkata, sekolah akan ditutup pada Isnin, manakala sebahagian pegawai diminta bekerja dari rumah. – BANGKOK POST/AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×