Penyatuan ummah sukarkan PH – Zafrul

Penyatuan ummah sukarkan PH – Zafrul

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Naratif penya­tuan ummah yang digagaskan UMNO dan Pas diakui berhasil menjejaskan sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) khusus­nya dalam kalangan orang Melayu, namun disifatkan ‘tidak sihat’ untuk negara .

Strategi penyatuan ummah itu melihatkan persefahaman dalam kalangan parti orang Me­layu sekali gus tiada pertembungan kerusi dalam kalangan mereka sekali gus mendominasi undi kumpulan majoriti bagi menumbangkan PH.

Mengakui naratif itu menjejaskan PH, Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, keberkesanan formula itu dapat dilihat berdasarkan hasil keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebelum ini yang membawa kepada dominasi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, walaupun sokongan pengundi Cina tidak terkesan, pertembungan satu lawan satu mengakibatkan undi orang Melayu beralih kepada parti lawan.

“Ya, betul, (penyatuan ummah) menjejaskan PH. Penyatuan Melayu lepas mereka serang DAP juga, nampaknya formula itu dalam pilihan raya baru-baru ini di Negeri Sembilan. It works (ia berhasil).

“Walaupun sokongan Cina tak terkesan sangat di Negeri Sembilan dalam 80 peratus sokongan Cina kepada PH, tapi sokongan Melayu 20 lebih peratus, masih tinggi tapi apabila kita tak ada pecah tiga (pertembungan BN dan PN), itu yang impaknya (kepada PH).

“Kalau setengah-setengah kawasan itu mungkin pecah tiga contohnya kawasan (Setiausaha Agung DAP) Anthony Loke (di Chennah), kalau (pertembu­ngan) tiga penjuru dia sudah menang,” katanya ketika diwawancara menerusi Podcast PodX Utusan Malaysia.

Zafrul yang kini pegawai pemantau PKR di Parlimen Pandan berkata, PH berhadapan jalan sukar sekiranya strategi penya­tuan ummah di antara UMNO dan Pas kekal sehingga Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kerana di kebanyakan kawasan bakal menyaksikan pertembu­ngan satu lawan satu berban­ding tiga penjuru.

Bagaimanapun, beliau berkata, politik identiti yang dimainkan UMNO dan Pas dilihatnya sebagai tidak sihat untuk jangka masa panjang bagi negara sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Tambahnya, beliau melihat isu ini bukan berpunca daripada perkauman namun disebabkan faktor ekonomi kerana orang Melayu merasakan tertinggal dari segi pendapatan, kekuatan ekonomi sehingga dimanipulasi oleh sesetengah pemimpin politik menjadikannya ia bersifat rasis.

“Tapi sebagai pemimpin, bagi saya ia isu utamalah. Kalau kita lihat apa yang berlaku di seluruh dunia, isu imigrasi menyebabkan rakyat menyokong setengah pihak terutamanya yang berhaluan kiri atau kanan, untuk negara kita, saya rasa isunya berpunca bukan perkauman.

“Isunya berpunca kerana ekonomi kerana apabila rakyat terutamanya golongan Mela­yu rasa mereka tertinggal dari segi pendapatan, dari segi kekuatan ekonomi, jadi mereka akan dimanipulasikan oleh setengah pemimpin yang mengatakan Melayu ini terkesan kerana Cina.

“Padahal ini isu kita, tak boleh salahkan orang lain. Saya memang percaya kepada NEP (Dasar Ekonomi Baru), hak Bumiputera itu satu, tetapi kita tak boleh terus menyalahkan kaum lain,” katanya.

Bagi mematahkan naratif penyatuan ummah itu, Zafrul berkata, PH perlu mempunyai formula yang boleh memulihkan semula kekuatan bagi mendapatkan semula sokongan khususnya di kalangan orang Melayu.

Katanya, PH harus memberi penerangan kepada rakyat bahawa negara ini tidak mengamalkan politik perkauman sebaliknya melihat kepada objektif lebih besar.

Tambahnya, PH khususnya PKR perlu menambah baik jentera di peringkat akar umbi selain memperbaiki dari segi komunikasi dan mesej yang ingin disampaikan kepada pengundi tegar dan pengundi atas pagar.

“Mesej itu sendiri dan saya percaya apa yang dibuat oleh Perdana Menteri maksudnya dari segi ekonomi. Saya pergi ke luar negara memang banyak negara cemburu dengan pencapaian ekonomi kita.

“Tetapi pada masa sama, isu perkembangan ekonomi ini bagus, positif, namun macam mana kita hendak pastikan rakyat dapat rasa? Kalau kita cakap besar-besar, tapi rakyat tak rasa, rakyat akan rasa kita ini macam disconnected (tak faham realiti). Jadi ini satu lagi penambahbaikan yang perlu dibuat supaya kita fokus kepada isu-isu melibatkan kos sara hidup,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×